Monday, October 8, 2018

Jalan ke jambatan Pulau Bunting dibuka mulai esok

 Jalan ke jambatan Pulau Bunting dibuka mulai esok
YAN - Jalan sambungan dari Lebuhraya Utara Selatan ke Pulau Bunting dekat sini akan mula dibuka kepada orang ramai mulai esok.

Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir berkata projek jalan sepanjang 18.2 kilometer bernilai RM250 juta itu telah pun siap sepenuhnya pada 23 September lepas.
ADVERTISING

"Dengan siapnya kerja-kerja pembinaan bagi projek ini, ia dapat menyediakan perhubungan darat yang lebih berdaya maju untuk semua jenis kenderaan darat dari Lebuhraya Utara Selatan ke Jambatan Pulau Bunting.

"Selain itu dapat mewujudkan prasarana jalan raya yang lengkap bagi menjana pembangunan Pulau Bunting dan persekitarannya," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan projek itu oleh pihak kontraktor, UCM Construction Sdn Bhd kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) di Jambatan Pulau Bunting hari ini.

Penyerahan itu disempurnakan Pengarah Urusan UCM Construction Sdn Bhd Datuk Ibrahim Mohamad kepada Pengarah JKR Kedah Wan Mohamad Hilmi Wan Mahmud yang disaksikan Mohd Anuar.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri Zamri Yusof.



Mohd Anuar berkata jalan itu sepatutnya siap awal pada 8 Mei tahun lepas yang kemudian dilanjutkan kepada 23 Mei tahun ini, namun tidak dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh itu atas dua faktor iaitu perlu menyelesaikan isu pengambilalihan tanah di kawasan daerah ini serta pengalihan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) 132kv di Gurun.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai menjaga kebersihan di sekitar Pulau Bunting itu dalam usaha memastikan kelestarian alam sekitar sentiasa terjaga untuk menarik minat dan pandangan pelancong asing serta tempatan mengunjungi kawasan pulau berkenaan.

Projek itu diluluskan dalam Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Ke-10 (RP3, RMK-10). Kerja pembinaan jalan dilaksanakan UCM Construction Sdn Bhd pada 9 Mei 2014. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...