Monday, October 8, 2018

Kerjasama Darul Quran-IPT lahir 1,790 huffaz profesional

 Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa
CYBERJAYA - Seramai 1,790 huffaz profesional dalam pelbagai bidang akademik telah dilahirkan melalui kerjasama antara Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan institusi pengajian tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata kerjasama yang diterokai sejak 2000 itu melibatkan tiga universiti iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Cyberjaya University College of Medical Science (CUCMS).

Kejayaan itu terhasil melalui pelaksanaan Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran bermula 2000, yang menyasar melahirkan modal insan cemerlang dalam pelbagai bidang seiring Pelan Tindakan Pemerkasaan Darul Quran 2015-2019, katanya.

"Alhamdullilah, pengintegrasian dua bidang ilmu ini telah menampakkan kejayaan melalui kelahiran jurutera, pakar pengurusan dan doktor huffaz dari institusi pendidikan berkenaan," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Jakim dan CUCMS bagi pelaksanaan Program Pensijilan Tahfiz Darul Quran-CUCMS di sini hari ini.

Mengenai MoU itu, Mujahid berkata ia adalah lanjutan daripada kerjasama dijalin Jakim dan CUCMS pada 2013.

Perjanjian itu, katanya telah berjaya melahirkan produk sulung dimana seramai sembilan pelajar CUCMS bergelar 'doktor al-hafiz' telah dianugerahkan Sijil Tahfiz Al-Quran Jakim-CUCMS pada majlis konvokesyen universiti itu pada 11 Ogos lalu. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...