Monday, October 8, 2018

Isu kenyataan Dr Mujahid yang diputar belit: Apa ada pada 'The Star'?

Arif Atan

Nama pun 'star' yang boleh dianggap merujuk kepada simbol bintang dalam bendera MCA.

Ekoran kenyataan Dr Mujahid itu yang hujahnya sama dengan kenyataan-kenyataan Dr MAZA dan Mufti Wilayah Persekutuan juga Ustaz Zaharuddin Abd Rahman sebelum ini, kita sudah menyaksikan masyarakat Melayu pula tidak habis berbalah.

Penyokong tegar Pas dan masyarakat Melayu konservatif menghukum Dr Mujahid tanpa hujah berfakta hanya kerana membaca muka depan The Star. Imej Rahmatan Lil Alamin pada AMANAH pun dipersenda dengan terus kembali memanggil 'PAN'.

Pada masa sama, kumpulan Melayu kategori super liberal bertepuk tangan berpesta sakan kerana menganggap Dr Mujahid sudah menghalalkan sesiapa sahaja untuk buat 'dosa peribadi' tanpa rasa takut.


Adakah polemik boleh atau tidak mengintip orang berzina itu menguntungkan masyarakat Melayu Islam untuk jangka panjan walhal realitinya kini masih jauh tertinggal serba-serbi termasuk penguasaan ekonomi? Adakah menghukum Dr Mujahid dan satu pihak lagi membela 'hak' penzina (oleh golongan ultra liberal) menguntungkan Malaysia secara keseluruhannya?

Ya. Raikan demokrasi dan kebebasan bersuara era Malaysia Baharu ini. Tapi 'mintak lagi walau dah kasi' dan bebas bersuara biadap dengan memutar belit kenyataan menteri sehingga menajamkan lagi kebencian sesama orang Islam atas sebab fahaman parti politik tidak harus dimaafkan.

Kontroversi menimpa Dr Mujahid dengan laporan muka depan The Star kelmarin, moga jadi iktibar selepas ini buat pemimpin Pakatan Harapan terutamanya Melayu Islam.

Simpanlah sedikit rasa curiga kepada mana-mana sahaja media yang bukan sahaja angkuh tidak mahu berasimilasi dengan nilai kebangsaan bahkan punya agenda halus bersifat perkauman dengan memusuhi apa sahaja berkaitan Melayu dan Islam.

Jangan teruja sangat melayan media seperti itu hanya kerana nampak ada 'class' sebab berbahasa Inggeris.

Beri reaksi ringkas yang tidak menjerat diri sebagai menteri dan pemimpin parti kalau ditanya. Berhati-hati.

Kalau minta diwawancara, beritahu saja secara profesional minta mereka rujuk media rasmi parti.

Maaf cakap. Mungkin ramai tak sedar, orientasi media yang umum tahu milik Persatuan Cina Malaysia (MCA) itu memang sejak sekian lama cenderung bawa agenda anti nasional, ultra liberal, cauvinis dan rasis dengan semangatnya jauh merentasi tempurung politik kepartian MCA-DAP.

Tidak macam rata-rata media berbahasa Melayu dan majoriti pembaca Melayu sendiri yang masing-masing terkepung dalam politik kepartian sehingga agenda berkaitan identiti pengukuhan negara bangsa yang terasnya tidak dapat lari dari kebudayaan Melayu dan Islam kerap takut diberi penekanan kerana tidak mahu dianggap bersifat perkauman. Masalahnya, apabila wacana tentang itu kosong, maka media yang sudah lama jelek dengan Melayu dan Islam akan ligat dalam menyusupkan jarum halusnya dengan mengeksploitasi sentimen hak asasi manusia.

Waspadalah dengan media seperti itu. Jangan mudah terpedaya.

Ketika ada yang bermusuh dengan Utusan Malaysia sebagai lidah Umno, perasaan sama malah lebih berganda lagi waspadanya dengan media yang dimiliki MCA.Sebabnya, mereka dari 'perut' yang sama - BN. Tambah, media itu 'pandai' memainkan propaganda sendi kemajuan Malaysia terletak pada bahasa Inggeris selain menjadi 'kitab' kelas kapitalis dengan projek dan kepentingan yang tidak menguntungkan pun kemakmuran ekonomi golongan B40 malah M40 merentasi semua kaum.

Berbanding Utusan Malaysia yang tidaklah mempersoal kewujudan orang bukan Melayu di Malaysia ini, The Star jauh berbeza orientasinya.

Selain itu, siap ada halaman khas untuk berita berkaitan dengan negara Republik Rakyat China sahaja! Apa maknanya itu? Takkan, itu pun tak nampak motifnya?

The Star juga nampak ketara apabila apa sahaja perkara berkaitan agama Islam dan orang Melayu, bahasa Melayu kerap dipersoal. Raja saja nampak tidak berani pula diperlekeh sebab mungkin ada kepentingan!

Ketara juga dalam wacana ketika 'kesamarataan' dituntut seperti sengaja buat tidak faham tentang makna 'keadilan'.

Dasar ekonomi pun konon mahu 'sama rata' walaupun realitinya pegangan ekonomi Bumiputera begitu jauh tertinggal. Langsung tidak bercakap tentang agihan ekonomi 'adil' dalam kalangan rakyat.

Siapa yang setiap hari teliti membaca The Star akan tahu pola pengisian atau 'jiwa' akhbar itu. Melalui ruangan emel pembacanya sebelum ini, The Star menyiarkan banyak pandangan yang dilihat tidak menghormati kedudukan bahasa kebangsaan pun dengan tuntutan-tuntutan yang menjurus kepada pendewaan bahasa Inggeris.

Bahkan, bukan sekali The Star selamba menyiarkan tulisan yang menganggap bangsa Melayu sebagai pendatang di tanah air ini selain menganggap Malaysia Baru pasca 9 Mei TIADA kaitan dengan sejarah Tanah Melayu. Tulisan-tulisan ekstrem majoritinya kaum bukan Melayu dan segelintir Melayu Anglophile yang menuntut wujudkan sekolah aliran Inggeris selain sibuk menekankan 'kepentingan bahasa Inggeris' sebenarnya boleh ditafsir bermotifkan menolak taraf dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara ini.

Tapi, saya sudah lama perhati sejak sebelum PRU-14 lagi, ramai pemimpin Pakatan Harapan masih bangga mengelek akhbar The Star! Ya lah. Akhbar bahasa Inggeris, kan.

Sebab itu, apabila sudah jadi pemimpin kerajaan apalagi dari parti politik yang berteraskan Islam, boleh beri reaksi tapi kenalah jaga-jaga, usah terlalu melayan mereka. Pembaca pula boleh baca tapi percaya jangan, kena teliti buat semakan terlebih dahulu.

Kerosakan dan fitnah yang dibuat The Star itu juga boleh tuan/puan teliti berdasarkan pendirian NUNJI ini:

Kenyataan Rasmi Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah (NUNJI) Berkaitan Isu Tular Menghalang Pencegahan Maksiat Oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr. Mujahid Yusof

Berdasarkan perkara-perkara berikut:

i) Transkrip asal temubual YB Menteri dengan wartawan The Star bernama Zakiah Koya dalam bahasa Inggeris yang diperolehi daripada Setiausaha Akhbar Menteri
ii) Keratan akhbar The Star bertarikh 6 Oktober 2018
iii) Kenyataan-kenyataan akhbar pihak-pihak berkepentingan dalam masyarakat seperti para mufti dan peguam syar’ie
iv) Respon masyarakat awam di laman sosial
v) Penafian YB Menteri terhadap berita akhbar The Star melalui siaran TV al-Hijrah

Adalah dengan ini pihak ilmuan NUNJI mengesahkan bahawa frasa yang digunakan akhbar The Star “No more moral policing” (“Tiada lagi polis moral”), “No more night khalwat raids or intrusion into Muslims' private lives” (“Tiada lagi tangkapan khalwat malam atau pencerobohan ke atas kehidupan peribadi orang Islam”) dan “No more knocks on the door in the middle of the night and no more breaking down of doors by the religious authorities investigating reports of khalwat or other alleged wrongdoings” (“Tiada lagi ketukan di pintu pada tengah malam dan tiada lagi pemecahan pintu oleh pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan khalwat atau lain-lain kesalahan yang disyaki”) yang telah menimbulkan fitnah dan salah faham masyarakat itu BUKANLAH frasa atau ayat yang digunakan sendiri oleh Datuk Dr Mujahid dalam temubual itu, tetapi hanyalah ayat-ayat yang ditafsirkan dan disimpulkan sendiri oleh pemberita The Star.

YB Menteri tidak menyatakan operasi mencegah maksiat harus dihentikan, sebaliknya YB Menteri menegaskan tentang perbezaan ruang individu dan ruang awam dari segi tindakan sebagai kerajaan.

YB Menteri juga menjelaskan persoalan wartawan sama ada di masa akan datang pencegah maksiat akan memecahkan pintu dan menangkap orang yang melakukan maksiat. Jawapan YB Menteri bahawa beliau akan menasihati (would advise) pihak berkuasa agensi di bawah pentadbirannya agar lebih rahmah dan berhikmah dengan tidak menceroboh ruang-ruang peribadi.

YB Menteri juga menyebutkan ada kes-kes penyalahgunaan kuasa yang memerlukan penambahbaikan dari segi prosedur. Dalam pada itu YB Menteri menegaskan kerajaan terikat (bound) dengan peruntukan undang-undang yang membezakan kuasa kerajaan pusat dan kerajaan negeri, tetapi akan menyediakan platform berbincangan dengan pengarah-pengarah jabatan hal ehwal agama negeri-negeri.

Setelah berlaku kerosakan akibat penyebaran berita tidak benar tentang kenyataan YB Menteri itu, sukalah NUNJI mengingatkan semua pihak dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Al-Hujurat: 6)

Di sana juga terdapat hadis sahih yang bermaksud: “Sesiapa yang menjamin untukku anggota di antara dua kumisnya (iaitu menjaga mulut daripada berkata-kata perkara batil) dan menjamin untukku anggota di antara dua kakinya (iaitu menjaga kemaluan daripada maksiat zina dan seumpamanya), maka aku menjamin untuknya syurga” (Riwayat al-Bukhari)

Daripada ayat dan hadis di atas dapatlah kita fahami bahawa dosa akibat perbuatan mulut (dalam konteks hari ini termasuklah tular menerusi sebaran media sosial) adalah lebih dahsyat daripada dosa peribadi perlakuan zina dan seumpamanya. Pelaku dosa-dosa peribadi itu boleh bertaubat terus kepada Allah SWT dan Allah SWT sangat suka hambanya yang bertaubat dan kembali kepadaNya. Bagaimana pula dengan dosa akibat perbuatan mulut dan tangan yang menularkan perkara yang salah terhadap seseorang atau mana-mana pihak sehingga menyebabkan ramai umat Islam terjerumus melakukan dosa umpat, keji dan maki hamun terhadap pihak berkenaan?

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Memaki seorang muslim (tanpa hak) itu adalah kefasikan yang nyata dan membunuhnya pula adalah kufur” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Bagaimanakah orang-orang yang telah melakukan dosa akibat penyebaran perkara salah tanpa usul periksa ini ingin memperbetulkan atau menarik balik semua maki hamun yang telah diluahkan?

Di sini kita lebih memahami mengapa Allah SWT mengarahkan kita berhati-hati dengan berita yang sampai kepada kita sebelum menyebarkannya kepada pihak lain.

Ramai orang bimbang bala seperti Tsunami akan menimpa negara jika maksiat-maksiat seperti zina, khalwat, minum arak dan amalan LGBT berleluasa. Kita akui tentang kemurkaan Allah SWT terhadap dosa-dosa itu. Tetapi bagaimana pula dosa-dosa menyebarkan perkara salah sehingga menyebabkan sebahagian masyarakat menghukum, mencela dan memaki hamun sebahagian yang lain tanpa alasan yang dibenarkan syarak? Adakah Allah SWT tidak murka? Dan di manakah pencegah maksiat mulut dan jari yang mengongsikan berita-berita salah?

Justeru NUNJI menyeru sekalian umat Islam (khususnya asatizah dan orang awam yang tinggi semangat agamanya) dan masyarakat Malaysia amnya agar bertenang dan sabar apabila menerima sesuatu berita sehingga ternyata kedudukan sebenarnya. Sikap gelojoh ingin membuat ulasan dan menularkan ulasan-ulasan itu secepat mungkin bukanlah perkara yang baik, bahkan akan menjerumuskan kita ke lembah dosa-dosa besar kerana menzalimi pihak lain, memalukan diri sendiri dan menjatuhkan maruah kita akhirnya.

Semoga Allah SWT menunjukkan kita ke jalan yang lurus dan memelihara negara kita daripada musibah yang tidak mampu kita tanggung.

Gabungan Ilmuan NUNJI
7 Oktober 2018

.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...