Thursday, March 29, 2018

Alor Setar - Dalam 2 hari 20 aduan masalah air dilaporkan

http://www.tv14.my/wp-content/uploads/2016/02/sada.gif
ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menerima lebih kurang 20 aduan berhubung masalah bekalan air dialami pengguna sejak dua hari lalu.

Difahamkan, masalah ketiadaan bekalan air itu dialami penduduk di beberapa kawasan sekitar Kota Setar, Pokok Sena dan Jitra.

Setiausaha Eksekutif Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima aduan pengguna itu melalui panggilan telefon, emel dan WhatsApp.

“Berdasarkan aduan diterima, pengguna mendakwa aktiviti harian masing-masing terjejas berikutan bekalan air putus secara tiba-tiba.

“Malah, ada pengguna memberitahu terpaksa menyewa di hotel berikutan bekalan air tiada untuk memasak, mandi mahupun membasuh baju,” katanya.

Katanya, pengguna kecewa kerana mendakwa lambat menerima notis makluman mengenai gangguan bekalan air tersebut terlebih dahulu.

Yusrizal berkata, disebabkan itu, kebanyakan penduduk di kawasan terlibat berdepan masalah akibat tidak membuat persediaan awal dengan menyimpan air.

“Selepas bekalan air terhenti, pengguna beritahu barulah nampak notis makluman disebarkan menerusi aplikasi sosial. Jikalau nak lakukan kerja pembaikan sekalipun, maklumlah terlebih dahulu,” katanya.

Untuk itu, katanya, dia menyarankan pihak bertanggungjawab mengeluarkan notis awal kepada pengguna untuk membuat persediaan sepanjang tempoh masalah bekalan air itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...