Sunday, June 3, 2018

Kastam terima 32 aduan peniaga masih kenakan GST

Subromaniam Tholasy
SHAH ALAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengesahkan sebanyak 32 aduan diterima membabitkan peniaga yang masih mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T Subromaniam berkata, siasatan akan dilakukan pihaknya dan jika benar peniaga tersebut bersalah, tindakan undang-undang akan diambil.

“Kebanyakan aduan diterima melibatkan kedai atau restoran kecil. Mereka kata tak sempat untuk tukar sistem. Kita dah nasihatkan mereka untuk batalkan secara manual dan jangan kutip enam peratus itu serta buat catatan di dalam resit.

“Bagaimanapun, kita akan buat siasatan adakah benar mereka tak sempat atau sengaja memberikan alasan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.


Kata Subromaniam, pihaknya akan terus melakukan pemantauan terhadap 472,000 syarikat yang sudah mendaftar GST bagi memastikan mereka mematuhi arahan yang telah dikeluarkan.

“Kompaun yang boleh dikenakan terhadap peniaga yang ingkar adalah maksimum RM15,000 dan jika didakwa di mahkamah, RM30,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya dan dua kali ganda dari jumlah cukai yang dikutip.

“Namun, jika ada justifikasi dan bukti contohnya peniaga memang tidak sempat untuk tukar atau vendor tidak datang, mungkin kes tersebut tidak akan dibawa ke mahkamah dan kompaun tidaklah sehingga RM15,000,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan GST diletakkan pada kadar sifar berkuat kuasa 1 Jun lalu dan akan digantikan semula dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijadual dilaksanakan pada 1 September tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...