Selepas lebih tiga minggu Pakatan Harapan (PH) menewaskan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berpendapat partinya bukan lagi ‘kucing parsi’.
Beliau yang dikenali sebagai Tok Mat berkata, Umno harus mengubah sikap dan berdaya tahan menempuh cabaran seperti kucing jalanan memandangkan kedudukannya sebagai pembangkang.
“DNA Umno bukan DNA pembangkang. Itu susah sedikit. Bak kata orang sudah biasa jadi kucing parsi duduk dalam rumah dan makan bersuap tetapi sekarang kena hendak jadi kucing jalanan yang perlu mencari makanan sendiri.
“Kita kena ubah sikap kerana kita bukan lagi kucing parsi tetapi kita sekarang adalah kucing jalanan. Jadi, daya tahan kena kuat.
“Orang caci, campak kita dengan air atau halau kita, itu satu perkara lumrah,” dipetik daripada wawancara akhbar Mingguan Malaysia hari ini.
Tok Mat berkata demikian apabila ditanya situasi semasa Umno yang dianggap berdepan cabaran agak besar kerana parti itu tidak pernah ada pengalaman sebagai pembangkang.
Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sembilan berkenaan selanjutnya berkata, kedudukan parti tersebut sekarang ini diharap akan menjadi iktibar.
“Diharapkan supaya ini akan menjadi pengajaran pengajaran dan memperkasakan azab dan tekad kita supaya kita menyesali apa yang berlaku dan kita sedar apa sebab kita kalah.
“Kalau kita ada itu, kita akan ada keyakinan diri,” ujarnya ketika ditemui di Wisma Umno Negeri Sembilan, di Seremban 29 Mei lalu.
Sehubungan itu, Mohamad yang bakal bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti itu menyifatkan Umno mampu untuk bangkit kembali dengan mengumpamakan seperti sukan badminton.
“Kita macam lawan badminton, 14 kali berjumpa tetapi kita sudah menang 13 kali dan baru kalah sekali. Takkan kita hendak putus asa.
“Kita sudah menang dalam 13 pilihan raya umum dan cuma kalah sekali. PH dahulu pun tidak ada kuasa tetapi boleh menang.
“Takkan Umno bila sudah hilang kuasa, tidak boleh menang. Yang penting kita kena kerja dan yakinkan orang,” tambah bekas Menteri Besar itu lagi.
No comments:
Post a Comment