Sunday, July 8, 2018

LZNK jalin kerjasama CIMB, UUM

Kakitangan CIMB dan LZNK bergambar kenangan beramai-ramai.
Kakitangan CIMB dan LZNK bergambar kenangan beramai-ramai.

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menerima peruntukan RM250,000 dari CIMB Islamic Bank untuk pembangunan Program Keusahawanan Asnaf dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, pihaknya terus mengukuhkan jalinan kerjasama CIMB Islamic Bank dan UUM kerana amat memandang serius isu pembangunan asnaf di Kedah.

Menurutnya, rata-rata asnaf dibawah LZNK sememangnya memiliki minat dalam bidang keusahawanan, namun sejauh mana produk dipasarkan menjadi keutamaan Zakat Kedah.

"Kita memberi keutamaan kepada produk mereka dipasarkan demi membantu mengeluarkan golongan berkenaan dari kepompong asnaf, sekaligus mampu menjadi pembayar zakat.

"Zakat Kedah berharap dengan kerjasama antara kedua pihak itu, mana-mana usahawan ingin berjinak-jinak dalam dunia peniagaan tidak takut untuk mencuba," katanya.

Menurutnya, pihaknya berterima kasih dengan CIMB dan UUM atas kerjasama berkenaan, sekaligus berharap semua pihak terutamanya asnaf mendapat pembelaan di masa depan.

Pengerusi CIMB Islamic Bank, Datuk Mohamed Ross Mohd Din berkata, CIMB berbesar hati dapat membangunkan program usahawan bersama LZNK dan UUM yang melibatkan usahawan OKU dan penerima sedia ada.

Terdahulu, turut hadir,Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank, Mohamad Safri Shahrul Hamid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Ridzuan Ahmad dan Pengurus Perhubungan Awam LZNK, Ahmad Hambali Mohd Puat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...