Sunday, July 8, 2018

Mufti Pulau Pinang sambut baik keputusan mahkamah ke atas Ahmadiah

GEORGE TOWN: Mufti Pulau Pinang mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam yang membenarkan pengikut Ahmadiah bebas mengamalkan ajaran mereka, walaupun mereka dilabelkan sesat oleh pihak berkuasa Islam di Malaysia sebelum ini.

Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, keputusan itu sejajar semangat kebebasan beragama seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dan aliran Ahmadiah tidak pernah diiktiraf sebagai umat Islam.

Katanya, keputusan mahkamah itu juga selaras keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-8 pada September 1984 yang pengikut Ahmadiah bukan umat Islam.

Oleh itu, katanya, pengikut fahaman Ahmadiah boleh dianggap agama lain, selain Islam.

“Ini bermakna mereka tidak boleh menerima hak-hak sebagai orang Islam, termasuk hak pengebumian dalam perkuburan Islam,” katanya kepada FMT.


Dalam penghakiman bersejarah semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tiada hak menghalang aktiviti keagamaan komuniti Ahmadiah di negeri itu.

Seramai 39 pengikut Ahmadiah dalam permohonan semakan kehakiman mereka mencabar Jais kerana cuba mendakwa mereka dengan kesalahan syariah, atas dasar pihak berkuasa agama Islam di Selangor tidak mengiktiraf Ahmadiah sebagai orang Islam.

Hakim berkata, fatwa yang diwartakan di Selangor pada 2001 mengisytiharkan pengikut Ahmadiah sebagai sesat dan Jais tiada bidang kuasa untuk menyiasat dan mendakwa mereka atas kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Islam Negeri.

Ajaran Ahmadiah diasaskan Mirza Ghulam Ahmad pada 1889 di kampung kelahirannya Qadian, di daerah Gurdaspur, Punjab, India. Beliau lahir pada 13 Februari 1835 dan meninggal dunia pada 26 Mei 1908 di Lahore, sebelum dipindahkan untuk dikebumikan di Qadian.

Kebanyakan umat Islam menganggap aliran Ahmadiah yang berdasarkan ajaran Mirza Ghulam Ahmad dari Qadian, India, sebagai sesat kerana pengikutnya percaya Mirza Ahmad ialah penyelamat.

Komuniti Ahmadiah mendakwa mempunyai puluhan juta pengikut di seluruh dunia. Ibu pejabatnya kini terletak di Britain.

Terdapat juga kehadiran ramai pengikut Ahmadiah di Pulau Pinang.

Wan Salim berkata, antara kepercayaan fahaman itu ialah Mirza Ahmad ialah nabi yang menerima wahyu dan mempunyai mukjizat.

Katanya, Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang turut memutuskan pengikut Ahmadiah bukan umat Islam.

Beliau berkata, pihak berkuasa agama tidak boleh menghalang pengikut Ahmadiah mengamalkan ajaran mereka, tetapi mereka boleh didakwa kerana menyebarkan ajaran itu kepada umat Islam lain.

“Orang bukan Islam tidak boleh dihukum dengan hukuman murtad.”

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...