Sunday, July 8, 2018

Politik Pas, politik Umno

Wan Haron Wan Hassan

Umno-Pas
DALAM rencana lalu saya mengajak pembaca sama-sama memikirkan wajarkah Malaysia terus membiarkan mana-mana pihak menggunakan nama atau label Islam sebagai lambang parti mereka, ataupun memperalatkan agama dan perkauman sebagai teras wadah perjuangan parti mereka?

Tajuk ini dikira amat sensitif terutama bagi Umno dan Pas kerana kewujudan mereka berteraskan kepada agama dan kaum.

Bagi penyokong Umno, Melayu itu sinonim dengan Umno. Kononnya tanpa Umno matilah bangsa Melayu, hapuslah institusi raja-raja Melayu dan tergugatlah Islam sebagai agama Persekutuan.

Manakala bagi penyokong Pas pula, Islam itu Pas dan Pas itu Islam. Kononnya tanpa Pas tiadalah Islam di Malaysia. Tanpa Pas, kafirlah Melayu. Malah Melayu yang menentang Pas pun sudah ditakrifkan sebagai kafir.
Advertisement

Inilah naratif politik di Malaysia sejak merdeka sehingga sekarang. Sepanjang 60 tahun kita telah menyaksikan kejayaan Umno dan Pas memecah-belah rakyat Malaysia dengan memainkan sentimen sempit agama dan bangsa.

Kita masih ingat Amanat Haji Hadi yang mengkafirkan orang-orang Umno kerana tidak seiring dengan wadah perjuangan Pas dan tidak menyokong takrif Islam yang mereka guna pakai.

Amanat tersebut tidak pernah ditarik balik atau diberi pencerahan sehingga sekarang walaupun Pas sudah mula mengadakan 'hubungan gelap' dengan Umno.

Politik melampau itu menyebabkan wujudnya gejala dua imam, dua jemaah, dua tanah perkuburan dan keretakan serta perpecahan kekeluargaan dan rumah tangga orang Melayu untuk sekian lama.

Malah ada yang mengatakan ia mempengaruhi tercetusnya insiden Memali dan kemunculan puak pelampau al-Maunah.

Maka, tidak hairanlah jika Dr Asri pernah mendakwa parti politik itu mahu menegakkan hukum ALLAH, tetapi sebaliknya memaki hamun, menggelar orang lain dengan gelaran buruk, mengkafirkan sesama Muslim, berbohong, memfitnah dan memutarbelitkan nas-nas agama.

“Kita sering dengar sebahagian mereka melaungkan 'Allahuakbar' dalam majlis kepartian mereka. Soalan kita, apakah sebenarnya mereka membesarkan ALLAH atau melaungkan kebesaran parti politik mereka tapi atas nama ALLAH?”

Apabila agama dijadikan sebagai mainan politik, maka fatwa diputuskan juga tidak konsisten dan tidak ada keseragaman.

Amanat atau fatwa yang mengkafirkan Umno kerana perbezaan fahaman politik tiba-tiba bertukar wajah menjadi fatwa yang membolehkan atas alasan kerajaan perpaduan bersandarkan tahaluf siyasi dan politik matang, walaupun politik Umno masih di tahap sama, jika ia tidak dikira telah menjadi bertambah buruk.

Bagi Dr Asri, parti tersebut hanya memperalat dan mempolitikkan Islam sebagai barang dan bahan dagangan yang murah sekali. Sekali gus menurunkan darjat Islam sebagai agama syumul dan unggul.

Kerana sudah teruja dan terpukau dengan Umno, Pas sanggup menutup mata kepada kemungkaran dilakukan Umno, khususnya berhubung dengan gejala korupsi. Malah, mereka cuba mencari dalil dan hujah membela tindak tanduk Najib dan barisan pemimpin Umno dalam hal-hal tersebut.

Tun M juga sering mempersoalkan kewajaran kewujudan Pas sebagai sebuah parti politik kerana polemik dan gerak kerja mereka bukan saja selalu menjuruskan kepada bibit perpecahan dalam kalangan umat Melayu Islam tetapi menimbulkan ketegangan antara kaum.

Politik Umno pula berteraskan perkauman dengan ketuanan Melayu sebagai manteranya. Sedangkan Islam jelas melarang isu perkauman menjadi perhitungan politik. Apa pun ia sudah tidak dikira relevan lagi kerana keputusan PRU14 jelas menunjukkan Umno sudah tidak lagi diterima rakyat.

Mengikut ulama Mauritius tersohor, Shayk Abdallah Bayyah, Islam diturunkan bertujuan mengangkat martabat manusia ke tahap tinggi dan menjurus kepada kedamaian. Bukan untuk diperalatkan sebagai parti siasah untuk memecah-belah masyarakat.

Dr Mohamad Hamidullah, sarjana Islam India / Amerika yang menguasai 21 bahasa membahaskan perkara ini dengan terperinci dalam pelbagai karya beliau. Yusof Qaradhawi, Muhamad Tawhidi dan ramai lagi mengulas perkara ini secara jelas, tetapi ulama kita termasuk dari Pas tidak mengambil berat. Malah cendekiawan tempatan yang menghayati pemikiran sama dikritik dan dikecam teruk oleh Pas.

Kita melihat kejayaan Erdogan dalam pilihan raya baru-baru ini di Turki sebagai testimoni kepada naratif baharu politik umat Islam yang tidak perlukan slogan Islam keterlaluan untuk meraih sokongan rakyat.

Erdogan secara terbuka berkata beliau tidak akan menggunakan Islam sebagai jenama politik kerana tidak mahu mencemarkan Islam.

Terbukti Erdogan berjaya mengubah minda rakyat Turki tanpa memperalatkan Islam. Kejayaan ini perlu kita contohi.

Anwar Ibrahim berkongsi idealisme yang sama dengan Erdogan. Malah Anwar lebih awal berjuang membuka minda ummah untuk menghayati dan mengimani Islam yang syumul dan inklusif.

Malangnya, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama sukar untuk dibebaskan daripada tempurung feudal dan kejumudan.

Kita harap kerajaan Pakatan Harapan yang diberi amanah melaksanakan perubahan dan pembaharuan tidak saja tertumpu kepada perubahan politik atau ekonomi, tetapi mestilah lebih berani mengubah minda generasi akan datang supaya menghayati risalah Islam dikendali ALLAH.

Alhamdulillah, perubahan sudah ada. Kemenangan besar PKR melakar naratif baharu politik Malaysia.

Keimanan bukan terletak pada jubah atau serban. Kemelayuan bukan terletak kepada songkok, keris atau kain samping. Kedua-dua identiti ini tidak dijadikan prasyarat keahlian empat parti dalam Pakatan Harapan.

Masing-masing sudah ada uniform baharu yang mencerminkan naratif baharu politik Malaysia. Melayu dan Islam tidak hilang martabatnya kerana pakaian.

Melayu dan Islam tidak hilang kemuliaannya kerana nama partinya tidak menggunakan bangsa dan agama sebagai lambang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...