Tuesday, March 27, 2018

Dolak dalik BN tentang lapangan terbang setelah bisu projek hospital dan jambatan

Setelah menyepi dalam isu pembinaan jambatan yang menghubungkan Lambor Kanan dengan Lambor Kiri dan berdolak-dalik dalam isu pembinaan Hospital Seri Iskandar yang menggantikan Hospital Desa Changkat Melintang, Amanah dan Pakatan Harapan yakin cerita pembinaan Lapangan Terbang di Mukim Lambor juga hanya menjadi “umpan” UmnoBN Parit dalam PRU14 ini untuk perdayakan pengundi.

Lapangan terbang itu kononnya akan dimajukan di Gerbang Perindustrian Cempaka Sari (GPCS) di Mukim Bota dan Lambor Kanan di atas tanah kerajaan seluas 4176.7 hektar dan bakal dilaksanakan oleh Malaysian Resources Corporation (MRCB) hanya langkah selamat untuk menutup janji terdahulu yang tidak menjadi.

Pada dasarnya Kementerian Pengangkutan telah menerima cadangan Kerajaan Perak membangunkan lapangan terbang baharu di daerah Perak Tengah itu seperti diperakui Exco Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon seperti dilaporkan media pada 24 Novemver 2017.

Kerajaan Perak mendapat maklum balas kementerian berhubung cadangan pembinaan lapangan terbang baharu menerusi satu surat bertarikh 24 Oktober 2017 lalu. Surat itu antara lain menyatakan kementerian telah mengadakan satu mesyuarat bersama Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad, MRCB, kerajaan negeri serta beberapa agensi bawahnya pada 8 Mei 2017.

5. MRCB memaklumkan pembinaan lapangan terbang di GPCS adalah berkonsepkan zon perdagangan bebas, hab pengangkutan, terminal kargo bersepadu, pintu masuk antarabangsa dan zon pembangunan ekonomi, pendidikan dan perumahan.

Bukan sahaja penduduk Perak Tengah khususnya Parit, tetapi seluruh bangsa Perak tertanya-tanya dengan mainan dolak-dalik BN berkenaan Projek Pembinaan Lapangan Terbang baharu Seri Iskandar yang telah diluluskan secara prinsipnya oleh Kerajaan Negeri Perak sejak 2007 sebelum ini tetapi kini dibincang lagi mulai 2017 yang lalu untuk lokasi lain.

Persoalan ini timbul kerana pada bulan Ogos 2007, mantan Menteri Besar, Tan Sri Mohammad Tajol Rosli Tan Sri Mohamed Ghazali telah mengumumkan perancangan kerajaan negeri untuk membina lapangan terbang baharu kira-kira 5 kilomerater dari Bandar Seri Iskandar dan telah memperuntukkan kira-kira 1,200 hektar tanah bagi tujuan ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon (Exco yang sama) dalam laporan media bertarikh 10 Disember 2014, beliau menegaskan sebahagian daripada tapak yang dicadangkan seluas 809 hektar telah pun diluluskan secara prinsipnya kepada Seri Iskandar Development Corporation (SIDEC).

Mengikut cadangan, lapangan terbang ini mempunyai landasan sekurang-kurangnya 4,200 meter untuk keperluan jangka panjang dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah diarahkan mengkaji supaya cadangan ini direalisasikan, kata Dr. Mah Hang Soon semasa menjawab soalan Datuk Mohd Tarmizi Idris (BN-Kenering) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), 9 Disember 2014.

Pembinaannya bertujuan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan sosial setempat dan lapangan terbang berkenaan diharap dapat menarik minat syarikat penerbangan untuk mengadakan operasi ke destinasi baharu domestik dan antarabangsa.

Kenyataan Exco Kerajaan Negeri ini sangat meyakinkan apabila beliau tegas menyatakan pembinaan Lapangan Terbang Seri Iskandar ini akan menjadikan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh sebagai lapangan terbang kargo dan untuk kegunaan institut latihan penerbangan.

Kini Exco Kerajaan Perak yang sama bernama Dr. Mah Hang Soon, menyatakan dalam mesyuarat terbaharu telah memutuskan MRCB akan melaksanakan satu kajian kebolehlaksanaan bagi menilai cadangan tersebut dan melantik KMPG sebuah syarikat juruperunding bagi menyiapkan laporan akhir.

Setelah laporan akhir ditamatkan ia akan dibentangkan dalam Majlis Ekonomi Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Apa jadi dengan tapak lapangan terbang yang dicadangkan seluas 809 hektar yang telah pun diluluskan secara prinsipnya kepada Seri Iskandar Development Corporation (SIDEC) sebelum ini?

Seperti juga Projek Hospital Seri Iskandar dan pembinaan jambatan yang menghubungkan Lambor Kanan dengan Lambor Kiri, kedua-duanya sudah diluluskan tetapi sehingga kini bukan sahaja tidak nampak bayang projek berkenaan tetapi tiada penjelasan konkrit daripada Ahli Parlimen Parit, Datuk Zaim Abu Hassan berkenaan status projek tersebut.

AMANAH Parlimen Parit bimbang, Projek Lapangan Terbang baharu di Mukim Lambor ini juga hanya menjadi janji manis yang dicapati oleh UmnoBN sebagai modal kempen PRU14 sekarang ini, agar pengundi terpedaya dengan janji-janji indah ‘dacing’ kononnya mereka kuat membawa pembangunan ke Daerah Perak Tengah ini.

Banyak projek mega yang dijanjikan, diuar-uarkan oleh pemimpin Umno dan BN di Seri Iskandar ‘gagal’ atau ‘tidak kelihatan’ seperti Projek Hospital Seri Iskandar yang telah diluluskan pembinaannya sejak Februari 2008 lagi.

Selain itu, Pusat Perniagaan ala ‘Nilai 3’, Projek Kinta ‘Lake District’, Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Iskandar, Projek Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Perwira di Mukim Bota, Projek EduCity sebagai hub pendidikan bagi Pembangunan Kolej UCSI dan MMTC di Seri Iskandar, dan termasuklah Projek Lapangan Terbang baharu yang kononnya akan dibina.

AMANAH mengingatkan pemimpin Umno dan BN yang suka menabur janji agar tidak memperbodohkan rakyat, dengan janji-janji manis yang tidak tertunai. Keadaan ini berbeza dengan Pakatan Harapan yang bukan kerajaan dan pemegang kuasa. Sudah tentulah UmnoBN yang mendominasi kerajaan negeri tiada masalah kekangan kewangan, tapak dan masa untuk melaksanakan setiap janji yang ditabur.

Rata-rata penduduk Parit berasa hairan, UmnoBN yang berkuasa penuh dan memimpin sebuah kerajaan terpaksa berdolak-dalik dalam menjayakan projek yang dicanang setiap kali pilihan raya malah ada projek yang gagal tidak mencapai objektif sebenar pembinaannya. Takkan dah menang berkuasa pun tak reti nak memerintah?

>> Komentar bebas Tarmizi Mohd Jam, Koordinator Amanah Parlimen P.069 Parit I 27 Mac 2017

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...