1. Tindakan kerajaan Indonesia merampas kapal layar mewah di Bali milik hartawan kontroversi Low Taek Jho @ Jho Low yang didakwa diperoleh menggunakan wang 1MDB begitu menggemparkan dan memalukan negara. Media Indonesia melaporkan operasi merampas kapal bernama The Equanimity yang dibina dan diselenggarakan dengan menggunakan lebih daripada AS$250 juta daripada dana 1MDB adalah hasil kerjasama polis Indonesia dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), AS.
2. Isu 1MDB bagi Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat sudah menjadi isu global dengan negara Indonesia termasuk antara antara negara yang melancarkan ‘serangan’ dan buruan ke atas semua yang berkaitan dengan 1MDB. Indonesia, walaupun jiran dan saudara serumpun dengan Malaysia, bertindak tegas tanpa kompromi terhadap kapal itu. Timbalan Pengarah Jenayah Ekonomi dan Khas Kombes Daniel Silitonga memberi jawapan yang begitu tegas iaitu : " Yang penting, pada prinsipnya, kejahatan jangan sampai menang. Undang-undang yang harus menang,"
3. Isu rampasan kapal layar ini sepatutnya telah sampai ke titik terakhir kerajaan dan rakyat Malaysia. Jika AS dan seluruh dunia begitu tegas dalam soal menjulang keadilan dan menentang kezaliman, tidak wajar bagi Malaysia mendiamkan diri begitu sahaja. Isu 1MDB sudah tidak mampu disembunyikan kerana ‘bangkai dinasour’ ini sudah berbau busuknya ke seluruh dunia. Apakah kita tidak malu ketika seluruh dunia memerangi korupsi, rasuah, penyelewengan dan ketidak adilan yang berpunca dari negara ini, Malaysia mengambil sikap membisu serta mendiamkan diri. Malah Peguam Negara AS Jeff Sessions menyifatkan skandal 1MDB kleptokrasi paling teruk di dunia dengan lebih AS $ 4.5 bilion secara keseluruhan penggubahan wang haram dibuat menerusi urus niaga haram yang kompleks dan syarikat cengkerang dengan akaun bank di pelbagai negara seperti Switzerland, Singapura, Luxembourg dan Amerika Syarikat.