Tuesday, January 14, 2020

Bayar Saman Trafik Anda Dengan Diskaun Khas 50% Bermula 18 Januari Ini

Bayar Saman Trafik Anda Dengan Diskaun Khas 50% Bermula 18 Januari Ini

Polis trafik kini menawarkan diskaun 50% kepada pesalah trafik yang mahu menyelesaikan saman mereka yang tertunggak.

Namun ianya perlu diselesaikan di atas talian bermula dari 18 Januari sehingga 1 Februari 2020.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman (JSPT) Datuk Azisman Alias.

Beliau berkata pada tahun ini, polis akan memberi penekanan kepada pembayaran menerusi atas talian bagi mana-mana pihak yang mahu menyelesaikan saman mereka, terutamanya semasa musim perayaan ini.

“Kali ini kami cuba memberikan diskaun istimewa sebanyak 50%. Kami tidak pernah melaksanakan sistem pembayaran di atas talian sebelum ini. Dan ini tidak memerlukan orang ramai untuk beratur berjam-jam untuk membayar saman mereka.”

“Anda boleh melakukan pembayaran secara dalam talian melalui MyEG dan Rilex.com,” katanya dalam satu sidang akhbar khas menghargai pencapaian Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2019 dan perancangan untuk 2020 – baru-baru ini.

Menurut Azisman, sebanyak 5,763 kes kemalangan maut dilaporkan pada tahun lepas berbanding 5,870 kes pada 2018.

“Ini adalah Indeks Prestasi Utama JSPT di mana kita telah mengurangkan kemalangan maut sebanyak 107 kes atau 1.8%. ”

“Walaupun bilangannya agak kecil, ini adalah KPI kami, dan kami menjangkakan jumlah ini dapat dikurangkan setiap tahun, “katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Bukit Aman (JIPS) Datuk Zamri Yahya berkata polis mengambil tindakan tatatertib terhadap 1,503 kakitangan termasuk 110 anggota polis tahun lepas.

Beliau menambah, Bukit Aman telah membuka 2,232 kertas siasatan terhadap kes tatatertib terhadap kakitangan mereka tahun lepas di atas pelbagai kesalahan dan berjaya menyiapkan siasatan ke atas 898 kes.

Zamri berkata pada 2019, jabatannya menerima 3,773 aduan melibatkan kes salah laku dan jenayah seperti peras ugut, penyalahgunaan dadah dan pelacuran melalui 16 saluran termasuk e-mel dan panggilan telefon.

Dalam perkembangan lain, pengarah pengurusan Polis Bukit Aman Datuk Abd Rahim Jaafar berkata PDRM telah menyelamatkan RM1.5 juta hasil daripada penutupan beberapa buah balai polis komuniti di seluruh negara.

Penutupan balai polis komuniti adalah disebabkan oleh sewa premis dan keselamatan yang tinggi untuk kakitangan.

Sumber: Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...