Tuesday, June 12, 2018

Perpecahan BN - dari 13 tinggal 4 parti

Barisan Nasional (BN) menyertai pilihan raya umum ke-14 bersama 13 parti yang berada dalam gabungan itu.

Namun hanya dalam tempoh sebulan sejak kekalahannya pada 9 Mei, gabungan itu kini hanya tinggal empat parti.

Ditubuhkan pada tahun 1973, BN merupakan inisiatif perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein bagi menyatukan parti pemerintah dan pembangkang selepas tragedi hitam rusuhan kaum pada 1969.

Bagaimanapun, BN kini musnah di tangan anak lelakinya yang juga perdana menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak.

Najib sebelum ini bertegas mengetuai BN walaupun dibelenggu skandal 1MDB melibatkan berbilion ringgit dan digambarkan sebagai 'kleptokrasi paling buruk'.

Pada 9 Mei lalu, BN kehilangan kuasa untuk kali pertama dalam tempoh 61 tahun sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Kementerian Pendidikan memulakan proses siasatan dalaman isu projek solar di Sarawak

Siti Azielah Wahi

Dr Maszlee Malik
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan memulakan proses siasatan dalaman bagi mengenal pasti individu terlibat berkaitan isu penyelewengan pemberian kontrak membekaltenga solar dan diesel di 369 sekolah di Sarawak.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata, beliau telah mengarahkan pegawai kementerian untuk menyiasat dan memberi taklimat penuh tentang masalah di sebalik isu pemberian kontrak itu, yang mungkin mewujudkan isu ketidakpatuhan tatacara perolehan yang serius.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion itu yang didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan bekas pemimpin tertinggi negara.

Pemimpin berkenaan juga didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan, pada Januari tahun lalu, supaya melantik syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu untuk melaksanakan projek tersebut.

Menjelaskan mengenai isu berkenaan, Maszlee berkata, terdapat 369 sekolah di Sarawak tidak mempunyai bekalan elektrik tetap dan hanya menggunakan genset diesel untuk menjana elektrik.

Sebelum 2017, bekalan diesel kepada sekolah adalah daripada beberapa kontraktor yang dibekalkan secara kontrak.

Sindiket kemasukan pekerja asing, Datuk Seri jadi dalang?

 Datuk Seri jadi dalang?
ALOR SETAR - Persatuan Bekas Kakitangan Imigresen Malaysia (PBKIM) mendedahkan terdapat seorang individu bergelar Datuk Seri didakwa menjadi dalang kepada sindiket kemasukan pekerja asing khususnya dari Bangladesh ke Malaysia.

Presidennya, Leftenan Kolonel (H) Che Hassan Che Johan berkata, walaupun ada pihak menafikan kelulusan 1.5 juta pekerja Bangladesh telah dihentikan, tetapi setiap hari penerbangan dari Dhaka membawa ratusan pekerja dari Bangladesh yang diuruskan ejen-ejen dari negara itu dengan dibantu oleh ejen haram di negara ini.

“Sejak 15 tahun lalu Datuk Seri ini telah berkawan baik dengan ahli-ahli politik yang berkuasa. Apa yang beliau selalu katakan bahawa beliau mengambil wang untuk sistem kemasukan pekerja asing dari Bangladesh cuma RM350 setiap seorang.

“Padahal semua sedia maklum beliau mengambil RM15,000 setiap seorang pekerja asing dari Bangladesh. Sistem tersebut didaftarkan atas nama sebuah syarikat yang diterajui beliau bersama seorang bekas menteri,” katanya.

Dedah sumber dana tajaan haji 1MDB

 http://www.beritadaily.com/wp-content/uploads/2017/01/haji-1mdb.jpg
ALOR SETAR - Kerajaan diminta segera mendedahkan sumber dana bagi program penajaan ibadah haji bawah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Komunikasi Amanah Kedah, Ridzwan Abu Bakar berkata, memandangkan ketika ini, 1MDB disiasat secara teliti bawah kerajaan baharu, punca dana bagi program kebajikan dan berkaitan hal agama harus didedahkan bagi mengelak kegelisahan penerimanya.

Menurutnya, pendedahan demi pendedahan berkaiatan kes 1MDB amat mengejutkan rakyat Malaysia kerana sebelum ini kebanyakan maklumat tidak didedah secara telus kepada awam.

“Walaupun siasatan 1MDB masih belum selesai sepenuhnya, bakal jemaah haji yang ditaja 1MDB perlu disahkan status terkini mereka,” katanya.

Ridzwan berkata, dianggarkan seramai 1200 orang terdiri daripada imam masjid dan pemimpin masyarakat telah menerima surat tajaan terbabit sebelum PRU14.

Kerajaan Kedah kaji dasar perumahan negeri agar seimbang dari segi permintaan dan bekalan.

Kerajaan Kedah kaji dasar perumahan negeri
PADANG TERAP – Kerajaan Kedah akan mengkaji semula dasar perumahan negeri yang dilaksanakan kerajaan terdahulu supaya setiap projek dibangunkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan sasar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew berkata, pihaknya mendapati, masih wujud kelompangan yang harus diperbaiki berhubung dasar perumahan sedia ada terutama dalam menyeimbangkan semula aspek permintaan dan penawaran.

"Isu perumahan kita sedia maklum amat penting di Kedah dan kerajaan mahu memastikan semua rakyat di negeri ini mampu memiliki rumah walaupun kerajaan terdahulu turut mengambil berat isu ini, namun masih terdapat kelemahannya.

“Antara contoh ialah melalui projek PR1MA (Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia) di Sungai Petani yang dilaporkan masih terdapat banyak kekosongan dan kadar jualannya rendah, jadi saya nampak tidak seimbang dari segi permintaan dan bekalan.

“Perkara itu perlu dikaji semula untuk kita tambah baik," katanya selepas menyerahkan kunci rumah melalui pembinaan kediaman di bawah Program Rumah Impian Kedah/Perlis di Kampung Sireh, Pedu dekat sini, hari ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...