PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan bertanding di kerusi Parlimen Kubang Kerian, menurut sumber parti Islam itu.
“Beliau berkemungkinan besar bertanding di sana kerana PAS tidak pernah kalah di kerusi itu sejak 1990,” kata sumber kepada FMT.
Kubang Kerian yang sebelum ini dikenali sebagai Nilam Puri, dan pernah disandang bekas presiden PAS dahulu, Tan Sri Mohd Asri Muda pada 1974.
Kerusi itu pernah diwakili bekas pemimpin PAS seperti Mohamad Sabu, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub yang semuanya bersama parti serpihan, Amanah ketika ini.
Kerusi itu kini dipegang Ahmad Baihaki Atiqullah yang mengalahkan Datuk Anuar Safian dari Barisan Nasional dengan majoriti 16,741 undi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).