Saturday, September 15, 2018

Pas, Umno terpaksa bersama

 Umno Pas
SHAH ALAM - Kerjasama antara Pas dan Umno dilihat sebagai satu perkara yang terpaksa dilakukan dalam jangka masa pendek bagi berhadapan dengan PH.

Dekan Pusat Pengajian Asasi dan Umum Universiti Industri Selangor (Unisel), Prof Madya Dr Hamdan Mohd berkata, kerjasama itu menarik seandainya gabungan Pas dan Umno menjadi polisi rasmi.

“Apa yang kita lihat daripada undi popular di PRU14, sebenarnya gabungan ini akan memberi kesan kepada negeri-negeri yang mempunyai majoriti Melayu.

“Jadi Pas perlu memikirkan dalam keadaan untuk survival dan sebagainya. Tapi pandangan saya, Umno lebih memerlukan Pas dalam keadaan sekarang sebenarnya,” katanya pada Siaran Langsung ‘Pas Pasca PRU : Apa yang berlaku?”, hari ini.

Mengulas lanjut, Hamdan berkata, pada masa sama, parti tersebut perlu mengambil kenyataan bahawa kemenangan PH pada PRU14 itu bukanlah atas dasar kepartian.

Tubuh jawatankuasa teliti kerjasama Umno-Pas Kelantan

Tubuh jawatankuasa teliti kerjasama Umno-Pas Kelantan
KOTA BHARU – Satu jawatankuasa kerja Perhubungan Umno Kelantan akan ditubuhkan bagi meneliti aspek-aspek kerjasama antara parti itu dengan Pas mengikut acuan politik negeri berkenaan.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatankuasa tersebut akan diketuai Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob.

“Selepas itu secara rasmi perbincangan akan diadakan dengan pihak Pas dan Kerajaan Kelantan bagi menterjemahkan bentuk kerjasama kerana di peringkat nasional, kerjasama sudah terjalin secara rasmi sebagai pembangkang.

“Tetapi untuk Kelantan ini, Pas adalah sebuah kerajaan negeri, maka mungkin ada beberapa pengubahsuaian yang perlu dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Khas di Dewan Umno Kelantan, hari ini.

Menurutnya, jawatankuasa yang ditubuhkan itu penting bagi memastikan kerjasama yang terjalin antara kedua-dua parti itu bukan hanya untuk jangka pendek, namun diharapkan bagi satu tempoh yang berpanjangan.

PAS bayar lebih RM2.1 juta kos guaman kes S'wak Report

MUKTAMAR | PAS membayar lebih RM2.1 juta hasil sumbangan ahli bagi menampung kos guaman pengendalian kes saman presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pembayaran itu dibuat bermula 30 November 2016 dan sehingga Jun lalu.

"Daripada rekod, kita telah membayar yuran guaman bermula 30 November 2016 hingga Jun 2018 daripada jumlah kutipan yang dimasukkan di bawah satu akaun PAS berjumlah £355,550.82.

"Jumlah itu bersamaan RM2,117,870.85 dan peguam tersebut kini menghantar bil kepada Abdul Hadi yang belum kita bayar sebanyak £25,000," katanya ketika menjawab soalan pada sesi perbahasan penyata kira-kira tahunan PAS pada Muktamar PAS ke-64, di Kuala Terengganu, hari ini.

Terdahulu, perkara itu dibangkitkan oleh perwakilan PAS Temerloh yang bertanya mengenai jumlah kutipan bagi mendanai kes saman terdapat Sarawak Report itu.

Pintu HARAPAN tertutup buat Umno - Anwar

Pemimpin tertinggi PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiada kerja sama antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Umno, paling tidak buat masa sekarang.

"Sudah pasti tiada dan semestinya bukan pada sekarang. Kami tidak pernah mempertimbangkan hal ini. Mereka (Umno) bersama dengan PAS pagi ini dalam suatu persidangan," beliau memberitahu pemberita di Singapura hari ini merujuk pimpinan Umno hadir Muktamar PAS ke-64.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat meramalkan apa yang akan terjadi pada masa hadapan.

"Hal akan datang itu que sera sera (masa hadapan di luar kawalan). Tetapi buat masa ini, tidak ada langsung dalam pertimbangan," katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan kerjasama akan datang.

Anwar membuat kenyataan selepas Anggota Parlimen Umno dari Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz mengumumkan mahu membantunya dalam pilihan raya kecil Port Dickson.

Mercedes boleh ketika lori sampah tidak cukup

 
Tindakan kerajaan negeri Kelantan membuat pembelian kereta mewah Mercedes Benz untuk pegawai tinggi dan exconya terus menjadi momokan dan kutukan.

Ini kerana sebelum ini, kerajaan negeri berkata, lori sampah tidak mencukupi kerana kerajaan negeri menghadapi masalah kewangan.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa terus membangkitkan isu itu dalam pertemuannya dengan sebuah pertubuhan Wanita Kelantan dalam pertemuan beliau dengan mereka di Shah Alam.

“Hutang banyak tetapi boleh lagi beli Mercedes,” kata Husam secara sepintas lalu dengan diiringi tepukan dari yang hadir di majlis santai di sebuah kedai makan itu.

Isu pembelian Mercedes mula dibangkitkan Husam ketika berucap dalam satu majlis yang meraikan pelantikan beliau sebagai senator di Kota Bharu sebelum ini.

Itu hak Anwar untuk bertanding, saya tak masuk campur, kata Mahathir


Datuk Seri Anwar Ibrahim berhak untuk bertanding di dalam pilihan raya kecil (PRK), demikian menurut Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap kepada media, Pengerusi Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Anwar telah memaklumkan niatnya itu ketika beliau berada di Hong Kong.

“Dari Hong Kong dia telefon saya untuk beritahu yang dia ada PRK. Itu haknya. Saya tak masuk campur dalam perkara itu,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, hari ini.

Menjawab pertanyaan media sama ada patut atau tidak satu kerusi dikosongkan untuk Anwar, Mahathir berkata pihaknya mengambil maklum perhatian yang dibuat orang ramai terhadap perkara itu.

Bagaimanapun Mahathir menyatakan sokongan kepada pencalonan Anwar tetapi beliau tidak akan turun berkempen untuknya.

“Saya beritahu Anwar, biasanya saya tak berkempen dalam pilihan raya kecil. Tetapi saya akan sokong pencalonannya.”

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...