Tuesday, March 3, 2020

Politik Malaysia, Katak di bawah parti..

XIFU NASER | | 3 Mac 2020


‘KATAK di bawah tempurung’ adalah pepatah Melayu lama yang sangat bermakna. Katak berupaya untuk keluar dari zon tempurung tetapi ia memilih kekal berada di dalamnya kerana ia rasa selamat.

Ini sesuai dengan mindset demokrasi kepartian. Tempurung pada zaman sekarang merujuk kepada parti. Para ahli politik mempunyai kuasa untuk bebas daripada parti tetapi mereka lebih rasa selamat dalam parti sebagaimana katak rasa selamat dalam tempurung.

Persoalan yang sepatutnya ahli politik, profesor sains politik, penganalisis politik dan ulama siyasah shar'iyyah bangkitkan ialah 'benarkah selamat’ di bawah sistem demokrasi tempurung?

Cuba tanya bilakah ia diwujudkan dan apakah sebabnya ia diwujudkan? Siapakah yang mencipta sistem kepartian itu? Ia lebih banyak memberi keuntungan kepada siapa? Apakah mudaratnya? Kalau anda ialah Profesor Sains Politik dan anda tidak mengajar pelajar tentang persoalan itu, anda sebenarnya katak di bawah parti dan melahirkan ramai katak seperti anda di universiti!

Sistem kepartian adalah umpama mantera sihir yang diulang dan diulang di universiti, media, parti politik dan NGO dengan begitu banyak kali sehingga ia menjadi berhala yang disembah atau default asasi kemanusiaan.
Bagi Pas, anda bukan syurgawan kalau tidak berbai'ah talak tiga kepada parti Pas. Bagi DAP, anda bukan liberal kalau anda tidak sumpah taat setia sehidup semati kepada parti.

Parti adalah berhala yang anda perlu dengar dan patuh. Bila Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi PM Interim tanpa berparti atau tanpa memihak kepada mana-mana parti, anda kata dia mahu jadi diktator politik.

Adakah itu bermakna bila berparti, maka dia bukan diktator? Bukankah anda pernah kata pada tahun 1990-an bahawa Tun M adalah diktator Maha Fir'aun ketika beliau berparti masa itu?

Maka apakah logiknya anda kata beliau diktator kerana tidak berparti sedangkan anda juga kata dia ialah diktator ketika dia berparti? Bila Tun ingin menubuhkan unity government atas dasar sebagai PM Interim yang bebas parti ingin memperjuangkan perpaduan, anda kata ini memberinya kuasa diktator.

Persoalannya kalau Tun M berparti, anda pula kata dia ialah diktator berat sebelah sebab pasti akan memihak kepada partinya sahaja! Tetapi adakah anda sedar mindset katak anda?

Anda kata bahawa anda mahu jadi pemimpin politik yang memperjuangkan perpaduan dan demokrasi berparti tapi bukankah perjuangan perpaduan itu bercanggah dengan perjuangan demokrasi berparti?

Anda mahu perpaduan tetapi pada masa yang sama anda bekerja sepenuh masa untuk lompat daripada satu parti ke parti lain, anda berkonspirasi jatuhkan parti lain, naikkan parti sendiri dengan memfitnah parti lain!

Bila parti anda buat salah, anda berjihad untuk tutup keaibannya. Bila parti lain tidak buat salah, anda berusaha korek aibnya!

Anda hendak menang PRU dalam kampung anda. Maka, anda curahkan segala tenaga untuk lawan dengan parti-parti lain. Kalau anda menang PRU kampung ini, anda mahu menang lagi PRU depan. Kalau menang PRU depan, anda mahu menang PRU satu lagi dan satu lagi.

Seluruh hidup anda fokus kepada kampung dan perlawanan antara parti-parti dalam kampung. Akhirnya hanya jadi tuan kepada kampung.

Tetapi politik global diperintah oleh Kuasa Big Brother. Anda menang PRU dua pertiga majoriti di kampung tetapi politik global tetap diperintah oleh Kuasa Big Brother.

Big Brother kekal berkuasa kerana berjaya memecahbelahkan dunia kepada pelbagai kampung. Untuk pecahkan lagi, setiap kampung dipecahkan kepada parti-parti.

* Abdul Naser Tun Abdul Rahman ialah pensyarah Pemikiran Kritis Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...