Saturday, July 16, 2022

ASET PETRONAS DISITA: TINDAKAN UNDANG-UNDANG BERMULA DI ZAMAN NAJIB

ZAMAN NAJIB DAH MAKLOM DAH

 Dari Rafizi Ramli
15 Julai 2022

ASET PETRONAS DISITA:
TINDAKAN UNDANG-UNDANG BERMULA DI ZAMAN NAJIB

Sejak berita mengenai tindakan waris Kesultanan Sulu menyita aset PETRONAS tersebar, Dato’ Seri Najib Tun Razak bertubi-tubi menyerang kononnya ia berpunca dari kegagalan pentadbiran Pakatan Harapan.

Lebih jahat lagi, beliau mengalihkan pandangan rakyat kepada bekas Peguam Negara, Tommy Thomas untuk membina persepsi perkauman kononnya pentadbiran Pakatan Harapan melantik tokoh bukan Melayu yang akhirnya menggadaikan kedaulatan negara.

Ini permainan persepsi yang cuba dimainkan oleh Najib untuk dua tujuan:

Pertama, untuk terus memainkan politik perkauman menjelang Pilihanraya Umum 15 (PRU).

Kedua, untuk mengalihkan pandangan rakyat dari fakta sebenar iaitu tindakan undang-undang yang membawa kepada kejadian aset PETRONAS disita sebenarnya bermula akibat dari keputusan semasa beliau Perdana Menteri. Malah, pentadbiran beliau telah dimaklumkan mengenai perkara ini seawal 2017.

Semakan ke atas kertas keputusan proses timbang tara (“arbitration”) bertarikh 28 Februari 2022 jelas menunjukkan bahawa pentadbiran Najib telah dimaklumkan mengenai tindakan undang-undang yang boleh membawa kepada tindakan menyita aset ini.

Saya sertakan kertas keputusan timbang tara sebanyak 124 muka surat untuk makluman rakyat Malaysia.

https://drive.google.com/file/d/138QshyOfyt3RNCWBTak2Hyo8izV5WhWh/view?usp=sharing

Rujuk muka surat 23 di bawah tajuk “The Initial Phase of the Proceedings”, perenggan 21 secara jelas menyatakan bahawa “penuntut (waris Kesultanan Sulu) telah menyerahkan notis awal menyatakan hasrat untuk memulakan proses timbang tara, bertarikh 2 November 2017 di Kedutaan Malaysia di Madrid.”

Rakyat juga sedia maklum pentadbiran Najib juga yang membuat keputusan menghentikan bayaran (mengikut perjanjian yang diwarisi Kerajaan Persekutuan) kepada waris Kesultanan Sulu dalam tahun 2013.

Hakikatnya, keseluruhan aset negara yang dimiliki oleh syarikat dan badan kerajaan seperti PETRONAS, MARA dan lain-lain kini terdedah kepada tindakan disita akibat kecuaian dan kegagalan Najib semasa menjadi Perdana Menteri. 

Mujurlah aset yang dikenakan tindakan sita itu telah pun dijual oleh PETRONAS terlebih dahulu dan semua hasil urusniaga telah dipulangkan. Kita bernasib baik kerana pimpinan PETRONAS lebih bijak merancang dan menangani risiko berbanding Najib dan menteri-menterinya dahulu.

Ketika notis bertarikh 2 November 2017 itu diserahkan, Najib sedang terperangkap dengan skandal 1MDB dan sebahagian besar tumpuan pentadbirannya dalam setahun terakhir sebelum kalah PRU14 adalah untuk menutup skandal tersebut.

Perangai tidak malunya yang meneruskan pembohongan dengan cuba mengalihkan pandangan kepada orang lain tidak boleh diambil mudah.

Oleh itu, saya akan menyusun, mulai minggu depan, supaya satu laporan polis dibuat di seluruh negara terhadap Najib Razak atas kegagalan dan kecuaiannya yang menyebabkan harta-harta negara milik PETRONAS dan badan-badan lain terdedah kepada tindakan sita di seluruh dunia.

RAFIZI RAMLI

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...