
Zahid Mat Arip, yang pernah menjadi pegawai khas kepada bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad, kemungkinan besar bertanding di Pekan menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menurut sumber PPBM seperti dilapor FMT hari ini.
Ia selepas Kamarul Ariffin Mohd Shahar, calon yang sebelum ini dinamakan untuk cabar Najib, bersetuju berundur selepas pertemuan dengan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.
Menurut Kamarul, bekas perdana menteri itu sudah menjelaskan strategi untuk Pekan dan meminta beliau berkorban untuk memberi laluan kepada calon baru.
“Ia juga ketara daripada penjelasan Tun, strategi itu juga akan mengubah landskap politik di Malaysia,” katanya.
“Saya setuju atas permintaannya dan untuk memberi laluan kepada Zahid Mat Arip.”



