Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan (HARAPAN) Husam Musa berkata sejumlah doktor tersenarai sebagai calon HARAPAN Kelantan kerana menurutnya "negara sedang sakit".
Husam berkata demikian sebagai mengulas pencalonan enam doktor perubatan yang akan bertanding sebagai calon HARAPAN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.
"Kita mempunyai calon dari kalangan doktor perubatan seramai enam orang. Doktor paling ramai sekali, kerana negara kita sedang sakit.
"Sakit dari segi ekonomi, kewangan, politik. Kelantan pun sakit, kita memerlukan doktor," katanya ketika berucap di majlis pengisytiharan calon HARAPAN Kelantan di Kota Bharu, malam ini.
Dalam pengumuman itu, Husam disahkan akan mencabar Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan di parlimen Kota Bharu.
Pengumuman itu sekali gus bakal menyaksikan saingan hebat sekali gus kerusi paling menjadi tumpuan di negeri itu yang akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru.


