Mereka ialah bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Aziz dan yang paling mengejutkan ialah Najib sendiri yang ditahan di rumahnya, petang tadi.
Ahmad Zahid dipanggil awal pagi tadi ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan berkaitan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Najib dan isu dana Yayasan Akalbudi.
Beliau keluar lebih awal daripada bangunan SPRM dan enggan mengulas mengenai penahanan terhadap Najib manakala Shahrir yang keluar selepas itu juga dilihat terkejut dengan soalan diajukan media mengenai penahanan tersebut lalu bertanya kembali kepada media bila dan di mana Najib ditahan.
Sehingga kini, tiada laporan diterima mengenai perkembangan semasa adakah Riza telah keluar daripada pejabat SPRM selepas lapan jam memberi keterangan.
Tarikh 3 Julai 2018 pastinya bakal terpahat dalam lipatan sejarah negara, apabila individu pernah menjadi perdana menteri dikaitkan dengan pelbagai skandal seperti dana RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditahan oleh pihak SPRM sekitar jam 3 petang tadi.


