Wan Haron Wan Hassan
DALAM rencana lalu saya mengajak pembaca sama-sama memikirkan wajarkah Malaysia terus membiarkan mana-mana pihak menggunakan nama atau label Islam sebagai lambang parti mereka, ataupun memperalatkan agama dan perkauman sebagai teras wadah perjuangan parti mereka?
Tajuk ini dikira amat sensitif terutama bagi Umno dan Pas kerana kewujudan mereka berteraskan kepada agama dan kaum.
Bagi penyokong Umno, Melayu itu sinonim dengan Umno. Kononnya tanpa Umno matilah bangsa Melayu, hapuslah institusi raja-raja Melayu dan tergugatlah Islam sebagai agama Persekutuan.
Manakala bagi penyokong Pas pula, Islam itu Pas dan Pas itu Islam. Kononnya tanpa Pas tiadalah Islam di Malaysia. Tanpa Pas, kafirlah Melayu. Malah Melayu yang menentang Pas pun sudah ditakrifkan sebagai kafir.
Advertisement
Inilah naratif politik di Malaysia sejak merdeka sehingga sekarang. Sepanjang 60 tahun kita telah menyaksikan kejayaan Umno dan Pas memecah-belah rakyat Malaysia dengan memainkan sentimen sempit agama dan bangsa.
