Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin berkata, golongan yang sudah terlalu selesa dilihat tidak mahu turun ke bawah melihat apa yang sebenarnya berlaku kepada orang Melayu.
Menurutnya, bangsa Melayu juga kurang membuat penyelidikan tentang apa yang berlaku sekarang dan lebih suka hanya ‘tunggu’ dan ‘lihat’.
“Jati diri Melayu makin terhakis dan kurang sikap ambil tahu hal bangsa… mereka (bangsa Melayu) lupa soal musyawarah dan muafakat… lupa soal adab dan budi. Walhal nenek moyang dulu banyak tinggalkan azimat supaya Melayu bersatu dan ada semangat sayang bangsa.
“Melayu dulu sudah ada kemajuan hebat dan minda besar. Contoh mereka sudah pandai buat pistol iaitu terakol, sudah pandai buat senapang iaitu istinggar, sudah pandai buat meriam iaitu lela rentaka.
"Kita kena jadi bangsa pencipta seperti dulu,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.
