Sunday, July 29, 2018

Menteri: Perlu 2 bulan buang ‘sampah sarap’ dalam Pertubuhan Peladang

 
ALOR SETAR: “Kerja pembersihan” Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang digantung sementara pengurusannya, memerlukan kira-kira 2 bulan lagi untuk disiapkan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, proses membuang “sampah sarap” di dalam agensi kerajaan itu sedang dijalankan, bagi membolehkan ia kembali kepada fungsi asalnya sebagai sebuah pertubuhan yang benar-benar membela peladang di negara ini.

“Kita akan bermula dengan era baru, jadi yang mungkin berdepan tindakan perundangan kita izinkan mereka diambil tindakan, manakala yang tidak bersalah jangan bimbang, mereka tidak akan diapa-apakan,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama nelayan di pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Kuala Kedah hari ini yang dihadiri lebih 1,000 nelayan.

Umno turunkan had umur dari 18 kepada 16 tahun

Umno turunkan had umur dari 18 kepada 16 tahun
KUALA LUMPUR - Umno memutuskan turunkan had umur ahli kepada 16 tahun berbanding 18 tahun sebelum ini.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia selaras untuk memenuhi hasrat akar umbi Umno dan bagi memastikan beberapa perubahan dapat dilakukan pada struktur organisasi parti itu.

Menurutnya, Umno juga perlu bersiap sedia memperkukuhkan parti dalam menghadapi cabaran lebih besar pada masa akan datang.

"Kami juga merasakan bahawa umur belia yang diktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa ialah 15 tahun.

"15 tahun itu dikira umur belia dan kita ambil setahun lebih lewat berbanding definisi sebenar umur belia," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, sebentar tadi.

Pas Kedah lulus usul penyatuan Melayu-Islam

Pas Kedah lulus usul penyatuan Melayu-Islam
Timbalan Ketua Pemuda Pas Kedah, Amin Abdul Hamid kiri menerima anugerah jentera Pemuda teramai daripada Dewan Pemuda Pas Kedah sambil disaksikan Salim (dua,kanan).
SIK- Muktamar Tahunan ke-52 Dewan Pemuda Pas Kedah yang berlangsung di Markas Pas Sik di Sungai Pau hari ini meluluskan usul penyatuan Melayu-Islam.

Ketua Dewan Pemuda Pas Kedah, Salim Mahmud berkata, usul itu akan dibawa dalam Muktamar Pas Pusat di Terengganu pada September depan.

"Pemuda Pas negeri akan usulkan perkara ini kepada Pemuda Pas Pusat supaya ada usaha penyatuan Melayu-Islam.

"Bukan makna atas dasar Umno-Pas, tetapi semua, termasuk NGO-NGO seperti mana hari ini (Himpunan Kebangkitan Ummah).

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian, tadi.

Mukhriz - Kerajaan Negeri Kedah akan cari penyelesaian terbaik atasi isu Gunung Pulai


ALOR SETAR - Kerajaan negeri dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung bantahan penduduk mengenai cadangan pembinaan kuari di sekitar Gua Kelambu, Gunung Pulai, di sini, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya sudah membincangkan mengenai perkara itu secara terperinci ketika mesyuarat Exco berlangsung, petang kelmarin.

Katanya, mengikut laporan yang diterima oleh pihaknya mendapati Yayasan Islam Negeri Kedah (Yiked) mematuhi semua syarat dan proses yang ditetapkan.

“Malah soal penduduk di situ patut diberi perhatian. Difahamkan, pihak pemaju ada membuat permohonan untuk mengambil sedikit tanah rizab Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS), tetapi JPS tidak setuju. Untuk menggantikan tanah itu, pemaju mohon untuk mengambil tanah orang kampung termasuk kawasan bendang.

“Saya tidak pasti apa penyelesaian dalam urusan ini, tetapi melihat bantahan penduduk di situ seolah-olah, pemaju memang tidak dapat persetujuan orang kampung. Tetapi berdasarkan laporan diterima kawasan bendang sudah mula ditambun,” katanya.

Katanya, tindakan itu sudah tentu akan menerima bantahan penduduk kampung di situ.

“Saya berpandangan bahawa ruang sepatutnya perlu diberi perhatian dan janganlah sampai tahap macam itu sekali.

Friday, July 27, 2018

DBP mahu diajak berbincang isu UEC

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyokong kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik agar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dikaji secara menyeluruh.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom bagaimanapun berkata, agensi itu juga berpendirian sebarang keputusan berkaitan UEC perlu mengambil kira Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 serta Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Malah, beliau juga bersetuju supaya mata pelajaran sejarah menjadi mata pelajaran wajib lulus selain Bahasa Malaysia untuk pemegang UEC.

"Mata pelajaran sejarah mesti masuk sebagai kajian holistik yang menyeluruh (oleh kementerian pendidikan).

"Kita perlu ambil kira kepentingan Malaysia. Ia berkait rapat dengan perpaduan negara kerana isu pertama ialah kedaulatan bahasa Melayu," katanya pada sidang media di ibu pejabat DBP di Kuala Lumpur hari ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...