Pertemuan saya dengan YAB Tun Mahathir:
Khalid Samad
"Dan apa yang Tun mahu lakukan selepas berjaya dapatkan semula (Parti Bersatu)?" tanya saya lagi kerana melihat kesungguhannya dalam melaksanakan usaha ini.
"Adakah Tun ingin Bersatu kekal dalam PN (Perikatan Nasional) atau menyertai kembali PH (Pakatan Harapan)?"
Dari renungan matanya saya dapat merasai kesedihan yang terbuku di hatinya. Beliau terluka dengan pengkhianatan yang berlaku.
Pada usia 95 tahun, saya fikir beliau tentu telah mengalami pengkhianatan berkali-kali dan tidak akan terkesan dengan apa yang sedang beliau lalui sekarang.
Walaupun beliau cuba untuk menyembunyikannya, saya dapat merasai bahawa Tun terkesan dan sedang kesedihan.
Seperti biasa, beliau duduk di atas kerusi dengan tegak, tidak membongkok ataupun menggerak-gerakkan badannya.
Walaupun saya merasakan hatinya sedang menanggung pilu, namun kelihatan wajahnya, dan juga keseluruhan tindak-tanduknya menggambarkan beliau seorang yang sedang memperjuangkan sesuatu misi.





