
Pelaburan RM42 bilion di Kedah, mengapa syarikat China umum lain?
Saya mohon pengesahan dari Malaysian Investment Development Authority – MIDA Invest Kedah dan Kerajaan Kedah mengenai jumlah pelaburan asing (FDI) yang dilaporkan bernilai RM42.23 bilion dari syarikat pengeluar panel solar China bernama Risen Energy melalui anak syarikatnya Risen Solar Technology Sdn Bhd di Taman Teknologi Tinggi Kulim.
Perkara ini telah dilaporkan secara meluas oleh media tempatan khususnya kerana buat pertama kalinya Kedah kononnya mendapat pelaburan sebegitu besar hingga jauh meninggalkan negeri-negeri lain seperti Selangor, Sarawak, Sabah dan Kuala Lumpur.
Kejayaan Kedah ini juga dikatakan sebagai bukti bahawa Malaysia masih menjadi destinasi yang diminati pelabur asing, manakala Kedah pula muncul sebagai negeri yang paling menarik bagi mereka. Ini dikatakan kejayaan Kerajaan Perikatan Nasional.



