Saturday, February 24, 2018

Indeks rasuah SPRM cuba bendung imej buruk kerajaan BN?

ARIF ATAN

Indeks rasuah SPRM cuba bendung imej buruk kerajaan BN?
AMANAH Wilayah Persekutuan menyifatkan langkah SPRM untuk mewujudkan indeks rasuah sendiri dilihat cuba untuk membendung imej buruk dan reputasi negatif berkenaan rasuah di negara ini agar menepati kehendak kerajaan BN.

Timbalan Pengerusinya, Tarmizi Mohd Jam berkata, cadangan yang disuarakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad itu juga dilihat cara untuk mengawal persepsi buruk terhadap kejijikan gejala rasuah.

“Pembentangan kertas kerja cadangan pada Mesyuarat Lembaga Penasihat Pencegah Rasuah dalam masa terdekat juga boleh dianggap reaksi ‘terdesak’ BN memulihkan wajah hodoh rasuah negara.

“AMANAH percaya, kegagalan SPRM bertindak terhadap ‘ibu segala rasuah’ dalam 1MDB (1Malaysia Development Berhad) yang merupakan skandal kewangan terbesar dunia diperkatakan, menyebabkan imej Malaysia merudum di mata antarabangsa.

“Keadaan ini telah mensudutkan kepimpinan Najib pada kedudukan terburuk berbanding era kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Naib Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan itu berkata, hasil tangkapan, serbuan dan pelbagai tindakan SPRM dipersoalkan walaupun Dzulkifli mendakwa Malaysia sepatutnya mendapat status lebih baik dalam laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ekoran penangkapan agresif dilakukan pihaknya pada tahun lalu.

“Sudah berapa ramai daripada yang ditangkap itu dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukum? Adalah sangat menghairankan apabila Dzulkifli berbangga dengan kes tangkapan rasuah yang meningkat.

“Selagi tiada tindakan terhadap skandal yang berlarutan dilakukan pemimpin kelas jerung oleh SPRM atau selagi Najib tidak dijatuhkan, sangat mudah untuk menjangka bahawa indeks rasuah negara akan terus jatuh, jatuh dan jatuh lagi pada masa depan.

“Tangkapan mesti disusuli dengan pendakwaan dan diakhiri dengan hukuman setimpal. Bukannya tangkapan menjadi hiasan TV, kemudian lepas dan bebas,” bidasnya.

Mengulas pendedahan Pengerusi TI Malaysia, Datuk Akhbar Satar tentang kemerosotan kedudukan Malaysia pada tangga terburuk CPI sepanjang 23 tahun, Tarmizi berpendapat, laporan tersebut mungkin mendorong SPRM mahu mewujudkan indeks rasuah sendiri.

Mengikut laporan itu, Malaysia memperoleh 47 daripada 100 markah dalam CPI 2017 dan muncul di kedudukan ketiga dalam kalangan 10 negara Asean manakala Singapura teratas dengan 84 markah diikuti Brunei 62 markah.

Sehubungan itu, AMANAH, ujarnya lagi, menyokong penuh langkah PH untuk menubuhkan Pelan Induk Integriti Nasional bersama masyarakat sivil bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara dalam Asia yang berintegriti, membasmi rasuah dan mengamalkan urus tadbir yang baik, jika diberi peluang memerintah selepas PRU-14 nanti.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...