Friday, February 16, 2018

Kaum Cina sokong Pas di 'belakang tabir'

Kaum Cina sokong Pas di 'belakang tabir'
KUALA TERENGGANU – Kaum Cina diakui lebih suka memilih ‘belakang tabir’ dalam menyatakan pendirian dan sokongan terhadap Pas berbanding aktif bergerak bersama-sama parti itu.

Perkara tersebut diakui Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Pusat, Dr B Chandran yang menyifatkan kebanyakan kaum Cina ditemuinya lebih suka menyatakan sokongan secara senyap.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak segelintirnya tetap menunjukkan sokongan secara terbuka termasuk menjadi ahli DHPP.

“Kaum Cina ada yang jadi ahli DHPP tapi tidak ramai. Dalam Terengganu pun ada dua orang yang masuk dan di Selangor boleh kata 10 hingga 11 orang yang daftar sebagai ahli DHPP,’ katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau yakin, dengan pelbagai isu yang melanda kepimpinan DAP ketika ini termasuk keangkuhan pimpinan parti tersebut terhadap Pas khususnya, kaum Cina sudah mula menunjukkan perubahan sikap terhadap Pas.

Jelasnya, keadaan itu memberi kelebihan kepada Pas selain mereka yakin Pas adalah parti yang mempunyai pendirian tetap tidak sebagaimana DAP.

“Di Terengganu walaupun ada MCA dan DAP tetapi disebabkan beberapa isu, mereka sudah mula menunjukkan sokongan dari belakang tabir walaupun tidak jadi ahli DHPP,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, bantuan ikhlas ditunjukkan Pas ketika banjir besar di Pulau Pinang juga turut memberi kesan yang baik dalam menghakis persepsi negatif masyarakat Cina terhadap Pas.

Keadaan itu secara langsung katanya menunjukkan bahawa Pas tidak hanya berpolitik tetapi pantas dalam menggerakkan usaha dan bantuan kepada rakyat.

“Mereka menyokong Pas, namun ramai yang tidak mahu tunjuk tetapi kita tahu selepas mereka sendiri menyatakan mahu memberi sokongan kepada Pas sebab istiqamah dalam memperjuangkan prinsip dan dasar parti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...