Thursday, February 22, 2018

Radhi bersedia jadi calon PAS POKOK SENA PRU14

Radhi bersedia jadi calon PRU14
POKOK SENA - Lagenda bola sepak Kedah, Radhi Md Din, 53, bersedia untuk membantu Pas Pokok Sena jika dipilih sebagai calon pada pilihan raya di kawasan itu nanti.

Menurut Radhi, sebelum ini beliau yang merupakan pemain bola sepak kebangsaan menjadi perhatian terutamanya kepada golongan remaja, sentiasa turun bagi menjayakan pelbagai program dianjurkan Pas Pokok Sena.

“Bagaimanapun jika dicalonkan, saya akan berbincang dengan keluarga terlebih dahulu bagi mendapat restu ibu bapa supaya tidak menyentuh perasaan kepada mereka yang lain. Walaupun sudah jadi ahli Pas sekian lama tetapi tidak terdetik di hati saya untuk menjadi calon pada pilihan raya.

“Bagi saya, ramai lagi ahli Pas yang lebih berwibawa untuk dicalonkan pada pilihan raya nanti dalam memperjuangkan Islam, apatah lagi mereka terdiri golongan yang berpendidikan agama. Mereka lebih layak jika dibandingkan dengan saya yang hanya lebih dikenali dalam dunia bola sepak sahaja.

“Sebelum ini pun saya banyak terlibat dalam sukan bola sepak bagi menarik anak muda melibatkan diri dalam sukan itu. Sambutannya sungguh menggalakkan dan saya lebih senang mendidik mereka menjadi pemain bola sepak yang mungkin akan terpilih untuk bermain bersama pasukan negeri seterusnya kebangsaan suatu hari nanti.

“Saya lebih suka menarik golongan muda mendekati Pas dengan mengadakan latihan bola sepak kerana mahu menanam semangat bahawa sukan itu digalakkan dalam Islam. Melalui bola sepak juga dapat mendidik mereka mengenai sukan yang dikehendaki oleh Islam seperti menjaga solat dan aurat,” katanya.

Walaupun kehidupannya banyak kepada sukan bola sepak tetapi beliau sentiasa mengikuti perkembangan politik tanah air terutamanya di Pokok Sena.

Radhi berkata, sebagai ahli Pas dahulu pun beliau sentiasa membantu jentera parti itu setiap kali pilihan raya dengan mengorbankan tenaga dan kewangan bagi membantu Pas menawan Kedah.

“Oleh itu setiap ahli Pas adalah pejuang dan tidak semestinya apabila hendak dicalonkan baru perlu mereka berkorban untuk parti. Bagaimanapun hari ini saya bersedia dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan Pas, serta sentiasa wala jika diberi arahan untuk dicalonkan,” katanya.

Terdahulu, nama beliau sering disebut-sebut antara calon Pas Kawasan Pokok Sena untuk dicalonkan kerana komitmennya membantu Pas selama ini, serta keperibadiannya yang mudah didekati oleh golongan muda dan masyarakat daerah itu.

Kebolehannya dalam sukan bola sepak menyebabkan beliau dilantik sebagai Ikon Bola Sepak Pas Pokok Sena supaya berjaya menarik lebih ramai anak muda melibatkan diri dalam sukan bola sepak.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...