Monday, March 26, 2018

Hanya logo PKR atau AMANAH akan diguna untuk calon PRU14, kata Salahuddin


Pakatan Harapan (PH) mungkin terpaksa memilih hanya untuk mengunakan logo AMANAH atau PKR dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kali ini.

Perkara ini dijangka akan diumumkan Presiden PH Tun Dr Mahathir pada esok (Selasa) dalam mesyuarat mingguan Majlis Presiden PH.

Naib Presiden PH Salahuddin Ayub berkata, logo Bersatu tidak digunakan susulan parti itu menghadapi masalah dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan penggunaan logonya digugurkan dalam satu keputusan bersama yang dibuat oleh majlis presiden.

“PPBM dihalang mengunakan logo mereka. Kita kena guna antara dua logo parti ini. Jadi kita akan fikir logo mana paling berkesan (Amanah atau PKR),” ujarnya ketika ditemui media selepas majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Sepang malam tadi.



PH akan mengunakan hanya satu logo pada PRU sekiranya empat parti itu gagal didaftarkan sebagai sebuah gabungan untuk membentuk PH.

Penggunaan hanya satu logo dibuat bagi kerusi marginal yang ditandingi tiga part (PKR,AMANAH dan Bersatu). Manakala pengunaan logo DAP hanya kepada kerusi-kerusi yang pernah dimenangi dan ditandingi DAP.

Pada 3 Februari lalu RoS meluluskan Pemilihan Semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang diadakan pada 12 November tahun lepas mematuhi semua syarat yang diarahkan.

Bagaimanapun bagi mesyuarat agung pertama Bersatu pada 30 Disember lalu, parti itu tidak memenuhi syarat RoS sehingga krisis Bersatu dan RoS berlarutan hingga kini.

Salahuddin dalam ucapannya berkata, PH tidak akan putus asa dengan tekanan RoS terhadap parti dalam gabungan itu.

“Nampaknya Ros tidak beri peluang itu (mendaftar PH)…kita telah fikir lebih jauh setapak lagi jika Ros tidak beri lambang PH kita akan guna satu lambang dalam parti PH. Kita akan fikirkan lambang mana yang terbaik akan kita gunakan.

“Walaupun RoS menolak kita tetap guna lambang parti kita untuk PH. Kita yakinkan rakyat kita tidak putus asa. Kita akan guna satu lambang dikalangan parti kita,” ujarnya di hadapan lebih 300 hadirin yang diadakan di Dewan Orang Ramai Dengkil, Sepang.

Beliau kemudian merasmikan manifesto PH dan kenderaan jentera pilihan pilihan raya bagi empat parti dalam PH.

Turut hadir Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin, Adun Sungai Pinang Datuk Teng Chang Kim, Ahli Parlimen Kapar G.Manivanan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Datuk A Kadir Jasin.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...