Thursday, April 12, 2018

Kenapa Umno takut saya bergabung dengan Mahathir, tanya Anwar

Kenapa Umno takut saya bergabung dengan Mahathir, tanya Anwar

Bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hairan dengan sikap para pemimpin Umno yang khuatir dengan kerjasama yang terjalin antara beliau dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tidak tahu mengapa pimpinan Umno menganggap kerjasama saya dan Tun Mahathir sebagai satu perkara yang janggal kerana kami telah bermusuhan begitu lama.

“Pernah saya jelaskan bahawa kesediaan Tun Mahathir menjalin persahabatan telah saya terima dengan baik dengan semangat bersilaturrahim.

“Saya musykil mengapa Umno begitu takut dengan gabungan Tun Mahathir dan Anwar,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

Setelah menjadi seteru politik lebih satu setengah dekad, Tun Mahathir yang memecat Anwar dari jawatan timbalan perdana menteri pada 1998 kembali menjalinkan persahabatan dengan Anwar.



Tun Mahathir bertemu Anwar beberapa kali di mahkamah membawa kepada pertautan kembali hubungan antara dua tokoh negara itu.

Anwar yang kini menjalani hukuman penjara dipilih sebagai ketua umum Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan PKR, DAP, AMANAH dan PPBM manakala Tun Mahathir dilantik sebagai pengerusi pakatan pembangkang itu.

Menurut Anwar, muafakat yang terjalin antara beliau dan Tun Mahathir bersandarkan tekad bersama untuk menjana perubahan kerana negara kini menjadikan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebagai budaya.

“Skandal skala besar saperti 1MDB dan Felda cuba dilindungi. Maka hanya dengan perubahan kuasa, negara dapat dikemudi berdasarkan Perlembagaan dan hukum,” katanya.

PRU14, tambah Anwar adalah kesempatan terbaik bagi rakyat menentukan masa depan negara, menghentikan kezaliman dan membebaskan rakyat dari segala bentuk penindasan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...