Saturday, April 7, 2018

Larang papar gambar Tun M pelik, lucu, kata bekas Adun

MOHD ALI HASHIMApril 7, 2018 12:24 pm 1


Larangan memaparkan gambar Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ketua gabungan mahupun sebagai calon Perdana Menteri dalam kempen pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) amat pelik, ajaib dan ganjil.

Demikian ulasan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun ) Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed ketika ditemui semalam.

Menurut beliau, selama empat penggal menjadi Adun BN, belum pernah ada arahan larangan memaparkan gambar pengerusi mana-mana parti.

Namun begitu katanya, arahan yang dikeluarkan oleh SPR baru-baru ini amat melucukan, seolah-olah Tun Mahathir menjadi pesaing yang amat hebat kepada Barisan Nasional (BN).

“Kalau hendak kekalkan kuasa sekali pun jangan terlampau takut dan kecut.

“Sebenarnya BN sedar sekiranya gambar dan poster Tun M dipaparkan ia mampu mempengaruhi pengundi.


“Secara tidak langsung ketakutan ini mampu menggugat kedudukan serta sokongan yang mampu diraih oleh BN kelak,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tasek Gelugor juga berkata, apa jua tekanan yang dibuat oleh SPR maupun BN tidak akan mampu melunturkan semangat rakyat yang mahukan perubahan.

Malah katanya, semakin banyak cubaan untuk menyekat kemaraan PH, akan bertambah muak rakyat dengan kerenah yang sedang dipertontonkan oleh BN ketika ini.

“Selepas mereka melarang poster Tun M dipaparkan, kini mereka cuba sekali lagi dengan membubarkan Bersatu untuk sementara.

“Kemudian mereka tidak luluskan pendaftaran PH walaupun permohonan telah dibuat begitu lama.

“Yakinlah bahawa tsunami Melayu kali ini akan mampu membawa perubahan yang amat besar sehingga mengejutkan Umno dan BN tidak lama lagi,” tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, BN bukan saja akan tersungkur menjadi pembangkang menjelang PRU kali ini, sebaliknya pelbagai penyelewengan pimpinan mereka akan terserlah dengan ketara tidak lama lagi.

“Semakin kuat kekangan mereka terhadap PH, maka semakin bercambah simpati rakyat terhadap tekanan yang sedang dilakukan.

“Yang pasti PH wajib menang demi menyelamatkan negara ini daripada terus dinodai dan dicabuli oleh pemerintahan BN sedia ada.

“Membiarkan BN menguasai pemerintahan, akan mensengsarakan rakyat untuk tempoh lima tahun yang akan datang,” jelasnya.

Justeru tambahnya, perubahan kali ini adalah suatu pengorbanan yang amat mahal wajib dilakukan oleh semua rakyat yang amat dahagakan pembaharuan dalam kepimpinan kerajaan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...