Wednesday, April 18, 2018

Nurul Izzah menang saman fitnah RM1 juta

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar hari ini menang dalam kes saman fitnahnya terhadap anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung pertemuannya dengan 'puteri Sulu' Jacel Kiram.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Ismail dan Khalid masing-masing membayar RM600,000 dan RM400,000 kepada penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaluddin turut mengarahkan mereka membayar kos berjumlah RM80,000, dan membenarkan injunksi melarang mereka mengulangi perkataan fitnah dalam mana-mana penerbitan atau penyiaran.

Faizah berkata, Khalid telah memfitnah Nurul Izzah ketika beliau dalam satu acara di masjid Bukit Aman pada 22 Mei 2015 memberitahu hadirin bahawa Nurul Izzah bertemu dengan musuh negara yang membunuh anggota keselamatan.

Bagi Ismail Sabri (gambar) pula, Faizah berkata beliau membuat fitnah pada hari sama dalam majlis berkhatan anjuran Umno Bahagian Bera. Ismail Sabri adalah ketua Umno Bahagian itu.



Dalam acara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sementara itu mendakwa Nurul Izzah telah mengkhianati negara dan mengisytiharkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, dan boleh dipenjara bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).

"Kenyataan itu memberikan pandangan buruk terhadap plaintif dan menyebabkan beliau berdepan kebencian dan cemuhan," kata pesuruhjaya kehakiman itu.

Faizah berkata mahkamah tidak dapat menerima hujah Peguam Kanan Persekutuan Normastura Ayub - yang mewakili Khalid dan Ismail Sabri - bahawa perkataan "saya kira" dan "saya anggap" yang digunakan Ismail Sabri telah merendahkan "tahap" fitnah yang diutarakan.

Beliau berkata Khalid (gambar) dan Ismail Sabri sepatutnya tahu Nurul Izzah telah mengeluarkan kenyataan tiga hari sebelum itu, iaitu pada 19 Mei, yang menyatakan kekesalannya ekoran penyiaran gambarnya bersama Jacel di media.

Gambar itu diambil di sebuah forum di Filipina yang dihadirinya.

Gambar itu pertama kali dimuat naik oleh Jacel sendiri, dan mencetuskan kecaman orang ramai dan komen daripada Khalid dan Ismail Sabri.

Nurul Izzah kemudian menfailkan saman pada November 2015.

Perlindungan bersyarat

Khalid mendapat perlindungan bersayarat memandangkan beliau mengeluarkan kata-kata itu kepada pemberita atas kedudukannya sebagai ketua polis negara pada masa itu.

Namun, Faizah tidak membenarkan hujah pembelaan sama terhadap Ismail Sabri, kerana beliau hadir ke program di Bera - tempat beliau mengeluarkan kenyataannya - atas kapasiti sebagai pemimpin Umno dan bukannya menteri.

Faizah juga berkata kedua-duanya berniat jahat kerana tidak mendapatkan penjelasan daripada Nurul Izzah walaupun beliau telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

Wang untuk keluarga mangsa

Mengulas keputusan itu, Nurul Izzah berkata wang saman yang dimenanginya akan disalurkan kepada anggota keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

"Mereka membuat pelbagai tuduhan terhadap saya (kononnya sebagai pengkhianat). Tetapi saya seorang patriot," katanya.

"Dalam kita memasuki PRU ke-14 ini adalah peringatan kepada kita untuk mengamalkan politik baru dan bersih. Mereka menyerang saya di Parlimen menggunakan media arus perdana," katanya lagi.

Peguam Nurul Izzah, Sivarasa Rasiah beri=kata keputusan itu adalah peringatan daripada mahkamah kepada mereka yang berkuasa, terutama IGP, untuk memastikan kenyataan mereka adil dan tidak bersifat fitnah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...