Thursday, May 3, 2018

Kempen PRU14 di Kedah bertukar buruk


Melissa Darlyne Chow
| May 2, 2018


Pemerasan calon, bakar bendera PKR dan cuba mengelirukan pengundi dengan bendera parti berbeza hanya sebahagian daripada kejadian yang berlaku.

Teh (kanan) dan seorang ahli DAP memegang laporan polis dan gambar bendera PKR terbakar.

ALOR SETAR: Semakin mendekati hari pengundian, kempen pilihan raya di Kedah bertukar buruk dengan beberapa kejadian dilaporkan.

DAP Kedah mendakwa ada cubaan mengelirukan pengundi di negeri itu dengan menaikkan bendera DAP di beberapa kawasan dan bendera PPBM di beberapa kawasan lain.

Ketua DAP negeri Tan Kok Yew berkata bendera dinaikkan di beberapa kawasan seperti Kubang Pasu, Kuala Kedah dan Alor Mengkudu di Alor Setar.

“Semua orang tahu roket (DAP) dan bunga raya (PPBM) direhatkan pada pilihan raya kali ini, jadi siapa bertanggungjawab menaikkan semua ini?

“Kami mengesyaki ini cubaan untuk mengelirukan pengundi. Kami menurunkan bendera-bendera yang kami temui,” katanya di pusat operasi Pakatan Harapan (PH) hari ini.


Dalam kejadian lain, calon PH di Kota Darulaman Teh Swee Leong dari DAP mendakwa dia diancam oleh seorang orang yang “berpengaruh” di kawasannya.


Calon PH di Kota Darulaman Teh Swee Leong menunjukkan pesanan memeras wang.

Teh berkata lelaki itu menghujaninya dengan panggilan telefon dan WhatsApp sepanjang hari semalam meminta RM150 kerana mahu membaiki kereta.

“Saya beritahu dia saya tak boleh bantu kerana saya calon pilihan raya. Dia kemudian hantar nombor akaun bank.

“Pagi tadi, sekitar 8.04 pagi, dia hantar gambar saya, dengan kapsyen dalam Bahasa Mandarin bertanyakan macam mana saya nak orang mengundi saya.

“Lelaki itu kata pada 9 Mei ini, dia akan pastikan saya tak menang, kerana saya tak bantu dia,” kata Teh, dan menambah dia tidak kenal orang itu dan sudah membuat laporan polis.

Bendera PKR yang terbakar di pekan Simpang Kuala.

Sementara itu, kejadian ketiga menyaksikan bendera PKR di pekan Simpang Kuala di Alor Setar dibakar, mendorong DAP Kedah membuat laporan polis.

Tan berkata bendera terbakar itu ditemui 7.00 pagi semalam semasa ahli meronda kawasan.

“Kami mengesyaki ia sengaja dibakar, kerana bendera Barisan Nasional (BN) bersebelahannya tidak disentuh.

“Kami sudah membuat laporan polis dan berharap polis akan siasat,” katanya.

Tan berharap kejadian seperti itu tidak akan berulang dan kempen pilihan raya menuju hari pengundian akan berjalan lancar dan bersih.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...