Sunday, May 20, 2018

Kerajaan kaji projek mega, Pas mahu ECRL diteruskan

ARIF ATAN

Kerajaan kaji projek mega, Pas mahu ECRL diteruskan
Walaupun Majlis Penasihat Kerajaan bertegas projek raksasa Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan menyebabkan rakyat menanggung beban hutang yang besar tetapi Pas tetap mahu ia diteruskan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berharap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu merundingkan semula kos dan perjanjian projek itu agar menepati piawaian kewangan.

Menurutnya, projek-projek yang sedang berjalan dan telah diluluskan kerajaan sebelum ini melalui Rancangan Malaysia ke-11, perlu diteruskan demi manfaat rakyat.

“Ini termasuklah projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, lebuh raya jajaran tengah (Central Spine Road).

“Yang lebih utama ECRL yang tidak harus dibatalkan tapi dirunding semula kos dan perjanjiannya agar ia menepati piawaian kewangan yang sihat,” pinta Parlimen Kubang Kerian tersebut dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Kelantan, Pahang dan Terengganu telah memberi kelulusan permohonan tanah untuk pembangunan ECRL sebelum PRU-14 manakala Selangor satu-satunya negeri yang belum berbuat demikian.

Kerajaan BN sebelum ini memberi projek ECRL tanpa tender terbuka kepada syarikat bermasalah dengan Bank Dunia, China Communications Construction Company (CCCC).

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib berkata, projek itu mendapat pinjaman mudah sebanyak RM55 bilion daripada EXIM Bank China.

Bekas Pengerusi BN itu menandatangani projek ECRL di Beijing pada 1 November 2016 merangkumi kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd, CCCC dan China Communications Construction Company (M) Sdn Bhd (CCCCM).

Walau bagaimanapun, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin mendedahkan kos keseluruhan sebenar projek ECRL melebihi RM66 bilion.

Menurutnya, kos RM55 bilion yang dimaklumkan Najib itu hanya bagi fasa pertama manakala fasa kedua mencecah RM11 bilion.

“Fasa lain pula jumlahnya lebih (banyak). Saya rasa biar kerajaan yang umum jumlah sebenar,” katanya selepas mempengerusi mesyuarat badan itu di Menara Ilham, kelmarin.

Sehubungan itu, bekas Menteri Kewangan itu berkata, semua projek mega di negara ini akan dikaji semula sebelum cadangan dibentangkan kepada kerajaan.

“Kami perlu kaji semula semua projek mega. Jika ia tidak memanfaatkan kita, maka kita perlu duduk dan bincang,” katanya.

Daim turut memberi jaminan kajian semula projek mega tidak akan menjejaskan hubungan baik dengan China memandangkan tidak pernah wujud masalah negara ini dengan Republik itu sepanjang 22 tahun pentadbiran Mahathir sebelum ini.

Sementara itu, anggota Majlis Penasihat Kerajaan, Prof Jomo Kwame Sundaram berpendapat projek ECRL menyebabkan Malaysia dihimpit beban dalam menyelesaikan hutang dengan kadar faedah dalam tempoh dua dekad.

Memetik laporan Astro Awani, pakar ekonomi berkenaan juga mempersoal jumlah penumpang dan muatan yang mencukupi bagi menyokong pembinaan laluan rel berkelajuan tinggi itu.

Beliau berpendapat sistem landasan kereta api sedia ada boleh dipakai dengan hanya perlu mempercepatkannya, bukan membangunkan kereta api laju atau kereta api bullet.

“Banyak lagi yang perlu untuk memajukan Pantai Timur, tetapi satu projek gergasi seperti ECRL, yang bertujuan menguntungkan pihak tertentu, akan menelan belanja besar dan meninggalkan beban hutang berat yang ditanggung orang ramai.

“Harapan terhadap apa yang menitis atau meleleh ke bawah bukanlah strategi pembangunan yang dapat memajukan rakyat Pantai Timur,” hujah Jomo lagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...