Saturday, June 9, 2018

Kerajaan PH Negeri Kedah yakin selesai masalah air di 21 lokasi 'hotspot'

Selesai masalah air di 21 lokasi

Selesai masalah air di 21 lokasi
Zamri mendengar penerangan daripada Pengurus Kanan Wilayah Tengah Sada, Hizaruddin Razak.

GURUN - Kerajaan negeri yakin dapat menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang berlaku di 21 kawasan 'hotspot' seluruh negeri menerusi pelaksanaan 10 pelan tindakan segera, dalam tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (Harapan).

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air serta Tenaga, Ir. Zamri Yusuf berkata 10 lokasi sahaja diperlukan tindakan bagi memastikan 21 hotspot berkenaan berjaya diselesaikan masalah ini.

Katanya, sejak selasa lalu, lima lokasi sudah berjaya diselesaikan masalah air dengan pembinaan mini booster pam dan lima lagi lokasi akan siap sepenuhnya selepas raya.

"Sebanyak RM1.2 juta telah diperuntukkan oleh Syarikat Air Darul Aman (Sada) dalam usaha menyelesaikan masalah bekalan air di 10 lokasi berkenaan," katanya ketika ditemui di rumah pam Taman Lembah Jerai, pagi tadi.


Menurut Zamri, seramai 119 buah rumah di Taman Lembah Jerai menghadapi masalah bekalan air sejak lapan tahun lalu.

"Terdapat tangki air yang berfungsi, namun tangki berkenaan hanya boleh membekalkan air kepada penduduk kampung berdekatan dan 50 buah rumah di taman berkenaan.

"Oleh itu, kerajaan Harapan komited untuk menyelesaikan masalah kesemua penduduk sekitar kawasan ini," jelasnya.

Zamri berkata, sebelum ini penduduk dibekalkan dengan tangki statik namun masalah air ini dilihat tidak mampu diselesaikan kerana tangki berkenaan hanya memuatkan air dalam kuantiti tertentu sahaja.

"Kita telah mengambil pendekatan membina mini booster pam bagi menyelesaikan masalah ini dan alhamdulilah ia berhasil.

"Kawasan lain yang mempunyai masalah bekalan bakal disediakan kaedah yang sama bagi memastikan air sampai kepada penduduk," katanya.

Antara kawasan yang bakal disiapkan mini booster pam selepas raya ialah Kuala Muda, Kampung Betong Sik, Kampung Desa Jaya, Sik, Flat Setia Jaya Alor Setar dan Bukit kechik, Sungai Petani.

"Kaedah mini booster pam ini akan digunakan dalam tempoh setahun dua dan pelan jangka panjang bakal dilaksanakan.

"Bagi memastikan pelan projek jangka panjang kita berjaya, kita perlu meminta bantuan kewangan daripada pihak kerajaan pusat," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...