Wednesday, June 20, 2018

PAS KEDAH kemuka nama CALON Speaker, Timbalan Speaker Dun Kedah


Oleh : NURUL HIDAYAH HAMID

ALOR SETAR - Pas Kedah mengemukakan senarai nama calon Speaker dan Timbalan Speaker Kedah bagi Sidang Dun Penggal ke-14 pilihan mereka di Wisma Darulaman, di sini, semalam.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau mewakili Pas Kedah mencadangkan nama calon lain selain calon dicadangkan kerajaan negeri.

Beliau yang juga Adun Jeneri berkata, pihaknya mencalonkan Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi sebagai Speaker, manakala Adun Bukit Pinang, Wan Romaini Wan Salim sebagai Timbalan Speaker Kedah.

“Saya mewakili Pas Kedah mencadangkan dua nama ini yang mana ia disokong Adun Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat.


“Cadangan dua calon berkenaan selaras dengan Kehendak Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah,” katanya dalam sidang media selepas penyerahan surat pencalonan.

Menurutnya, pelantikan Speaker dan Timbalan Speaker Kedah hanya boleh dibuat melalui undian dalam Sidang Dun pertama yang dijadualkan pada 4 Julai depan.

Oleh demikian, katanya, tiada sesiapapun boleh mendakwa pelantikan Speaker dan Timbalan Speaker telah selesai sebelum pengundian dalam Sidang Dun dijalankan.

“Bagi Sidang Dun pertama, Setiausaha Dun yang akan mengendalikan, yang mana undian akan dilakukan demi menentukan Speaker dan Timbalan Speaker,” katanya.

Katanya, Speaker dan Timbalan Speaker dipilih melalui undian akan mengangkat sumpah di hadapan Adun selepas selesai proses undian, sebelum Adun pula mengangkat sumpah di hadapan Speaker kemudian.

“Pas Kedah mengambil tindakan itu kerana ia selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah yang memberi ruang terbuka untuk prinsip demokrasi,” katanya.

Sanusi berkata, beliau yakin surat pencalonan nama dikemukakan parti Islam itu lengkap dan mematuhi undang-undang ditetapkan.

Menurutnya, tindakan berkenaan bukanlah perkara baharu, sebaliknya Pas Kedah pernah membuat pencalonan nama Speaker seumpama itu pada 1999.

Katanya, pihaknya berharap pembangkang dilantik sebagai Speaker demi memastikan proses ‘check and balance’ yang lebih baik dan berkesan.

“Orang ramai tidak perlu takut. Jikalau Speaker dari Pas, bukan bermakna kami akan menolak pembangunan dibawa kerajaan negeri. Apa yang baik untuk rakyat kami terima,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri mencadangkan nama bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Datuk Ahmad Kassim sebagai Speaker, manakala Adun Ayer Hangat, Juhari Bulat, sebagai Timbalan Speaker.

http://www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...