Thursday, July 26, 2018

KJ tolak tiga tawaran Zahid


Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar didakwa menolak tiga jawatan yang ditawarkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepadanya untuk menghidupkan semula Umno.

Susulan penolakan sebanyak tiga kali itu, Zahid beranggapan mungkin Khairy mempunyai pelan lain untuk merancang kebangkitan semula Umno sebagai parti politik dan memainkan peranan yang membina sebagai pembangkang.

"Pertama sekali tawaran saya beri sebelum pemilihan Umno, 30 Jun lalu, saya tawarkan beliau jawatan Naib Presiden sebab Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein tidak bertanding. Tetapi KJ mahu bertanding kerusi Timbalan Presiden.

"Tapi akhirnya beliau bertanding kerusi Presiden. Selepas kalah, saya tawarkan jawatan Setiausaha Agung BN, tapi KJ tolak juga.

"Sebelum pengumuman barisan kepimpinan baharu Umno, saya tawarkan beliau buat kali ketiga sebagai ketua penerangan, ditolak juga," jelas Zahid.

Ketika ditanya alasan, penolakan KJ tersebut, Zahid berkata, beliau tidak melihat kepada alasan tetapi jika ada tawaran yang bagus untuk menghidupkan semula Umno itu yang perlu beliau nyatakan.


"Saya tidak melihat kepada alasan tetapi jika ada tawaran yang bagus untuk menghidupkan semula Umno, itu yang perlu beliau nyatakan.

"Barang kali KJ ada pelan lain untuk bangkitkan Umno semula sebagai parti politik dan mainkan peranan yang membina sebagai pembangkang," katanya.

Sementara itu, Zahid turut berkongsi pertemuannya dengan Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah semalam.

"Saya mengadakan perbincangan secara keluarga dengan Tengku Razaleigh Hamzah kerana beliau adalah seorang yang demokrat dan sangat positif biarpun hanya memperoleh undi yang kurang.

"Saya mempunyai tanggapan bahawa saya harus berunding beberapa perkara dengan beliau tentang apakah peranan konstruktif yang boleh dimainkan beliau untuk menterjemahkan kebangkitan semula Umno," katanya.

Zahid turut menawarkan jawatan kepada Tengku Razaleigh namun masih menunggu keputusan.

"Itu (jawatan) saya bincang dengan beliau dan beliau akan buat keputusan," tambah Zahid.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...