Monday, July 9, 2018

Mujahid tolak saranan Zainuddin tutup sekolah tahfiz

Mujahid berkata, penambaikkan membabitkan tahfiz tidak memerlukan sekolah berkenaan ditutup.

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini menolak cadangan bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin agar menutup semua sekolah tahfiz yang didakwanga tidak memberi masa depan kepada generasi baru umat Islam.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu sebaliknya berkata, Zainudin yang merupakan “orang lama” sepatutnya membuat “homework” dan melihat sumbangan para huffaz.

“Ada para hafiz yang menjadi imam dan pada waktu yang sama berkarier. Darul Quran Jakim itu sebenarnya untuk melahirkan orang yang bukan sahaja huffaz tapi juga profesional,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.


Beliau berkata demikian mengulas mengenai cadangan Zainudin agar beliau menutup semua sekolah tahfiz yang didakwanya tidak memberi masa depan kepada generasi baru umat Islam.

Beliau yang juga dikenali sebagai Zam berharap Mujahid berani dan tegas membawa umat Islam kepada realiti dan keperluan kepada sikap dinamik serta menolak “kearaban” sebagai keislaman.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, maahad tahfiz juga akan dirangka dengan dasar progresif dari segi imej dan penghasilkan pelajar mereka.

“Tetapi para pengendali maahad tahfiz janganlah main buat suka-suka hati, sedangkan soal keselamatan, kurikulum tidak diambil berat,” katanya.

Mujahid berkata, penambaikkan membabitkan tahfiz tidak memerlukan sekolah berkenaan ditutup.

“Sebab tak masuk akal kerana banyak sekolah yang melahirkan para huffaz dan pelajar yang cemerlang.

“Perkara itu bermanfaat kepada umat Islam. Oleh itu apa yang patut dibuat khususnya oleh Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Agama ialah memperbaiki dari sudut kawal selia.

“Kawal selia itu maksudnya sekolah tahfiz ini perlu berdaftar dan tidak boleh dibuat secara terasing daripada sistem pendidikan yang ditetapkan.

“Apabila dia berdaftar, kita bertanggjungjawab untuk memastikan perjalanannya, kawal selia, keselamatan dan lebih penting ialah masa depan anak-anak itu,” katanya

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...