Friday, August 31, 2018

Merdeka Baharu, Sayangi Malaysiaku.. Dibawah PAKATAN HARAPAN


Merdeka Baharu, Sayangi Malaysiaku

DALIA ISMAIL
August 31, 2018 12

Sambutan Hari Kebangsaan 2018 akan diadakan di Dataran Putrajaya hari ini, mencatatkan sejarah baharu setelah 61 tahun negara mengecapi kemerdekaan, buat pertama kali akan diraikan di bawah tampuk pemerintahan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

Sambutan kemerdekaan ini telah pun bermula dari Padang Kota Lama, Pulau Pinang yang telah dilancarkan pada 4 Ogos lalu oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bermulalah kempen Jelajah Kibar Jalur Gemilang ke seluruh negara hingga ke acara kemuncak hari ini di Dataran Putrajaya.

Manakala kempen ini akan diteruskan di Sabah untuk menyambut Hari Malaysia pada 16 September depan.


Pemilihan logo dan lagu tema Hari Kebangsaan 2018 ini telah dipilih sendiri oleh Dr Mahathir yang dihantar untuk pemilihan dalam pertandingan mencipta logo Hari Kebangsaan.

Pastinya ramai yang sudah tahu tema sambutan Hari Kebangsaan 2018 kali ini “Sayangi Malaysiaku” dan mengingati rangkap lagu tema merdeka bertajuk “Kita Punya Malaysia” ciptaan Sam, vokalis kumpulan Indie Band, Bankface.

Tema Sayangi Malaysiaku seiiring dengan perpaduan dan kesepakatan yang akan menjadi penggerak utama agenda memperkasakan integrasi nasional dalam kalangan lapisan masyarakat majmuk di Malaysia.

Rangkap lagu Kita Punya Malaysia, menggambarkan Malaysia kita punya, kita bersatu dalam kepelbagaian serta mempunyai jati diri tinggi, berganding bahu untuk bersama membangunkan negara tercinta.

Beberapa acara diambang Kemerdekaan juga menjadi kelaziman diadakan bermula dari petang hingga tepat jam 12.00 tengah malam tadi dengan pelbagai aktiviti membabitkan kerajaan negeri, agensi kerajaan, NGO dan pihak swasta untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan di seluruh negeri.

Memetik ucapan bapa kemerdekaan Allahyarham Tunku Abdul Rahman yang juga perdana menteri pertama Malaysia pada 3 Jun 1957, dihadapan 2,000 orang yang berkumpul dengan penuh emosi bagi meraikan kejayaan beliau pulang dari Kota London untuk mengumumkan tarikh kemerdekaan Malaya pada masa itu pada tarikh 31 Ogos 1957.

“Orang Melayu, Cina, India dan lain-lain kaum yang hendak menumpukan taat setia dan tinggal bersama serta menumpu dan menumpahkan darah serta bekerja membanting tulang di negeri ini, tinggallah dengan baik antara satu dengan lain kerana negeri ini adalah berlainan dengan mana-mana negeri yang ada di dunia ini

“Kita semua rakyat Malaysia. Inilah ikatan yang menyatukan kita. Marilah kita sentiasa ingat bahawa perpaduan adalah kekuatan asas kita sebagai rakyat dan sebagai sebuah negara.”

Mengambil kata-kata pendakwah terkenal nusantara, Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka) dalam pidatonya di depan majlis konstituante pada tahun 1957.

Islam sebagai agama yang berasaskan ketauhidan, telah datang untuk membebaskan manusia daripada perhambaan kepada sesama makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah SWT.

Kata Hamka, erti kemerdekaan ini terisi padu di atas tiga hakikat kemerdekaan itu sendiri, iaitu merdeka kemahuan, merdeka pemikiran dan merdeka jiwa.

Sekiranya tiga perkara utama ini runtuh, permulaan kepada hilangnya erti kemerdekaan sebenar. Maka sebuah Kerajaan yang memerintah itu akan menjadi asing bagi rakyatnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...