Saturday, September 22, 2018

Polis rampas 40 mesin judi di Alor Setar

 PDRM
ALOR SETAR - Polis merampas 40 mesin judi dalam operasi yang dijalankan di sebuah premis di Jalan Telok Wanjah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner, Mohd Rozi Jidin berkata, rampasan dilakukan oleh 38 anggota diketuai Pegawai Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Insp Darlveen Singh pada 5.30 petang hingga 12 tengah malam.

Katanya, turut dirampas 90 joy stick (alat kawalan simulator) di premis yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan mesin judi berkenaan.

"Operasi yang kita buat ini daripada waran geledah yang diperolehi daripada Mahkamah Majistret Alor Setar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini dan turut menambah sebanyak 11 premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian digeledah pagi tadi.



Operasi dilakukan kira- kira pukul 11 hingga 2 petang tadi membabitkan premis di sekitar Shahab Perdana, Taman Wira Mergong, Simpang Empat dan Kota Sarang Semut di sini.

Katanya, kebanyakkan premis terbabit mempunyai lesen Pusat Hiburan Keluarga ( PHK) dan pernah diserbu sebelum ini.

"Sejak awal bulan ini kita telah menggeledah 39 premis dan semua premis tidak lagi beroperasi dan bahagian dalam premis itu telah dikosongkan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4B (b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...