Monday, October 15, 2018

Jangan contohi pemerintahan Umno, BN

Jangan contohi pemerintahan Umno, BN
JASIN - Corak pemerintahan Umno dan BN ketika mentadbir negara, tidak wajar dijadikan contoh, kata Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.

Sebaliknya, PH harus belajar menjadi sebuah kerajaan yang mampu berkhidmat dengan berkesan untuk rakyat.

"Jangan belajar dengan Umno untuk jadi kerajaan kalau tidak, mati kita. Sebaliknya kalau Umno tak pandai jadi pembangkang, boleh belajar dengan kita (PH)," katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, setiap anggota PH harus memahami bahawa struktur kerajaan mempunyai tiga peringkat iaitu persekutuan, negeri dan tempatan dan kalangan anggota setiap peringkat mempunyai peranan dan fungsi masing-masing-masing dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

"Kegagalan anggota PH memahami dan melaksana struktur itu dengan baik boleh mengakibatkan gabungan parti itu menerima nasib sama seperti Umno dan BN pada PRU14 lalu yang mengakibatkan mereka hilang kepercayaan rakyat.

“(Ketika menjadi kerajaan) Umno, BN sudah jauh daripada rakyat, jadi jangan belajar dari mereka. Ambil pengajaran apabila mereka ketika itu mempunyai kekuatan kewangan dan jentera tetapi gagal dapat sokongan rakyat, kewangan dan jentera bukan jaminan sokongan rakyat.



“Justeru kekalkan dan kukuhkan kedudukan kita dengan bela kebajikan rakyat. Cepat belajar jadi kerajaan yang baik kerana rakyat telah berkorban dengan menukar kerajaan,” katanya.

Jelasnya, struktur kerajaan tempatan ketika kerajaan di bawah Umno dan BN tidak memainkan peranan dengan berkesan, dan perkara ini perlu diperbetul dengan memperkasa peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan anggota majlis PBT.

“Kerajaan tempatan ini adalah sebuah kerajaan di bawah kerajaan negeri. PBT dan anggota majllis PBT perlu faham peranan selesai masalah rakyat di kawasan mereka seperti longkang tersumbat dan sebagainya sebagai kerajaan yang mentadbir, malah PBT sudah menerima cukai dari rakyat.

“Saya sendiri terima panggilan jam 2 pagi daripada rakyat tentang masalah mat rempit, dahulu kita pembangkang boleh bercakap, mengadu tetapi bila jadi kerajaan kita kena ambil langkah selesaikan,” katanya.

Terdahulu, Adly berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Amanah Negara Kawasan Jasin di Sungai Rambai di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Amanah Jasin, Yuhaizad Abdullah.

Beliau yang juga Pengerusi Amanah Melaka, turut menerima sebanyak 1,350 borang permohonan baharu menyertai parti itu dan Amanah Melaka menyasarkan sebanyak 40,000 keahlian dalam tempoh tiga tahun.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...