Tuesday, November 6, 2018

Susah-senang, kalah-menang, jangan abai rakyat

ADAM ADLI

Ayuh bicara tentang teman-teman kita yang kini sudah memegang gelar menteri mahupun pegawai-pegawai menteri di Putrajaya dan beberapa negeri yang baru dimenangi.
Kira-kira, ada dua jenis golongan sebenarnya. Yang pertama, mereka yang kini hidupnya lebih enak dan selesa; tidak lagi bermandi keringat, tidak lagi pening memikirkan wang buat belanja, tidak lagi khuatir untuk ke mana-mana.

Untung nasib, sampai masa – bertambah pula gelar dan pangkat. Makin senang lagi hidup. Kantung yang kosong kini berisi. Kantung yang pernah berisi pula, makin penuh dan besar.


Mereka tiada lagi khuatir dan gusar. Ini kejayaan hasil bersusah-payah sejak bertahun. Ini habuan untuk setiap yang ‘dikorbankan’.

Yang kedua – juga hidupnya patut sama selesa, tidak ada beza dengan yang di atas – namun hatinya jauh masih gusar.

Peningnya jauh lebih berat berbanding dahulu. Kantungnya juga mungkin jauh lebih berlubang berbanding dahulu. Ini orang-orang yang benar-benar meletakkan diri dalam keadaan sukar.

Memandang jawatan menteri dan orang besar kerajaan bukan sebagai habuan, tetapi tanggungjawab. Jenis ini mungkin tidak seramai yang pertama. Siapa tahu, entah-entah tiada.

Sengajalah ini dibangkitkan supaya kita sentiasa beringat, bahawa tidak ada yang lebih memilukan daripada andai rakyat dan penyokong kedua-dua golongan ini diabaikan. Iya, kedua-duanya, bukan hanya yang pertama.



Yang pertama itu kita tahulah, memang hidup ini bagi mereka adalah untuk mencapai ‘kejayaan’. Apabila berjaya naik jadi orang besar, itu adalah atas usaha dan kerja keras diri mereka, bukan orang lain.

Maka tidak hairan golongan sebegini akan terus melupakan orang-orang di bawah. Untuk orang sebegini, pesannya mudah sahaja – yang baru kamu tumpaskan dahulu, adalah sama golongan dengan kamu. Jadi, teruskanlah hidup demikian – nikmatilah sepuas-puasnya kerana kamu tidak akan lama di sana.

Yang kedua sebenarnya lebih wajar kita beratkan. Mereka ini menggalas tanggungjawab – seberat-berat tanggungjawab.

Dari siang ke malam, pagi ke petang kerja tidak kunjung sudah. Gusar hati mereka melihat betapa banyak yang perlu dilakukan. Kerosakan yang ditinggalkan perlu dibaiki dan itu sudah jadi satu beban.

Tak mungkin mereka mampu bersenang hati. Orang begini juga sebenarnya harus kita ingatkan supaya jangan tinggalkan rakyat yang mendukung mereka.

Inikan Malaysia Baharu?Malaysia yang dilahirkan bersama, bukan hanya oleh seorang sosok.

Benar, menteri memang digaji untuk menyelesaikan masalah dan memelihara maslahah. Tetapi tanggungjawab itu adalah tanggungjawab seluruh anak bumi ini. Dilahirkan bersama, maka haruslah dibesarkan juga bersama.

Sebab itu, dalam menjalankan amanah yang ditanggung, kongsilah beban tersebut bersama rakyat terbanyak. Bukan seorang diri.

Ibarat perkahwinan, persahabatan, persaudaraan – jika ada rasa hormat antara satu dengan yang lain, semuanya dikongsi – tawa atau tangis. Tidak boleh hanya berkongsi senang, tapi menyendiri bila susah.

Mungkin juga ada yang menganggap rakyat tidak mampu untuk menanggung beban seperti mereka, mana mungkin orang biasa ada kemampuan seperti seorang menteri atau orang besar kerajaan; atau mana mungkin seorang menteri tergamak mengajak rakyat ikut susah dengan mereka – jangan fikir begitu, cubalah dahulu.

Dengan berkongsi beban, kita akan mampu lebih maju ke hadapan. Yang menyokong juga tidak rasa ketinggalan. Kalau tidak berkongsi susah (dan senang), mana mungkin rakyat mahu terus bersama lagi?

Tidaklah kita suruh ambil secara literal – sekurang-kurangnya andai perlu membuat keputusan sukar untuk negara, bincang dan buatlah keputusan dengan semua yang ada. Itulah seringan-ringan beban yang boleh dikongsi dengan rakyat.

Enam dasawarsa sudah kita diabaikan waktu senang dan susah, jangan kita ikut mengabaikan juga seperti yang lalu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...