Saturday, January 19, 2019

PAS - Jangan ada satu pun undi warga Felda untuk PH

NARAZA MUDA

http://www.kosmo.com.my/polopoly_fs/1.824016.1547693526!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_804/image.jpg
KERESAHAN semakin hari semakin melebar sejak hari pertama kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara selepas PRU14 dan PRK Cameron Highlands merupakan yang pertama melibatkan kawasan Felda.

Resah teruja menanti perubahan yang mungkin membawa kepada kebaikan kepada warga Felda kerana mereka sendiri berani buat perubahan dengan memberi undi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Tidak perlu saya rungkaikan janji-janji pemimpin PH ketika berkempen, cukuplah saya nyatakan pengundi di 54 parlimen Felda bertekad membuat perubahan dengan apa yang berlaku kepada mereka selepas Felda diporakperandakan oleh kerajaan terdahulu.

Selepas lapan bulan, sudah melepasi satu tempoh lepas pantang 100 hari meraikan kemenangan PH, hari ini warga Felda seperti menyesali di atas tindakan mereka memberi kemenangan hampir separuh daripada 54 parlimen Felda.

Benar perkiraan penganalisis sebelum ini. Jika warga Felda berubah dengan kadar peratusan tertentu atau mampu menambah kemenangan jumlah parlimen, pembangkang akan menang. Tembok simpanan tetap undi Barisan Nasional dipecahkan.

Tiada satu pun keserabutan sebelum ini mampu diselesaikan secara holistik, bahkan aset-aset Felda pula diancam dilupuskan bagi mengekalkan aliran tunai yang bermasalah.

Bayaran pinjaman sara hidup bagi peneroka yang dalam proses tanam semula, bayaran pendahuluan hasil di antara masalah yang memberi kesan langsung apabila ianya tertunggak beberapa bulan.

Pemimpin negara yang ada kaitan dengan Felda dan peneroka tidak berani pijak tanah rancangan Felda. Lebih mendebarkan mereka terdengar desas desus ratusan hektar tanah mereka bakal dipajakkan kepada pihak lain (bukan ladang sawit).

Janji kertas putih pemulihan Felda dibentangkan di parlimen sesi lalu terpaksa dibatalkan atas nasihat pihak tertentu kerana sebab tidak ketahui.

Bila waktu kempen PRK sekarang ini, banyak pula kenyataan-kenyataan pelik. Mereka kata duit Felda sangat mencukupi untuk mengurus bayaran kepada peneroka, duit sudah ada cuma belum diagihkan dan bermacam lagi.

Walau apapun yang mereka janjikan, warga Felda Sungai Koyan perlu beri isyarat lantang dan keras kepada kerajaan Pakatan dengan tidak memberi undi kepada mereka. Pastikan semua peti undi kawasan Felda memberi angka '0'.

Warga Felda mampu berbuat demikian. Isyarat ini akan membawa kebaikan kepada seluruh 317 tanah rancangan Felda seluruh negara. Kita mulakan di sini.

NARAZA MUDA
Timbalan Pengarah Hal Ehwal Felda Lajnah Tanah PAS Pusat
18 Januari 2019 – HARAKAHDAILY 18/1/2019

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...