Friday, March 22, 2019

Tabung Haji berjaya meningkatkan aset RM76.5 bilion

KUALA LUMPUR 18 Mac - Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) berjaya meningkatkan jumlah aset sebanyak RM76.5 bilion berbanding nilai tanggungan dan deposit RM75.5 bilion pada tahun 2018 menerusi pelan pemulihan dan penstrukturan semula.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, langkah itu menerusi pemindahan aset tidak menguntungkan kepada syarikat tujuan khas (SPV).

Kata beliau, sebelum langkah pemulihan itu, Tabung Haji mempunyai defisit sebanyak RM4.1 bilion melibatkan jumlah aset RM70.3 bilion dan nilai deposit RM74.4 bilion.


Jelas Mujahid, nilai aset yang dipindahkan kepada SPV merangkumi 29 hartanah, sebuah syarikat tidak tersenarai, 106 sekuriti aset domestik yang keseluruhannya melibatkan RM19.9 bilion.

Beliau malah berkata, nilai pindah aset tidak menguntungkan itu berjaya memulihkan penyata imbangan dari dahulu.

“Dahulu aset lagi rendah daripada tanggungan namun selepas kejayaan pelan pemulihan dan penstrukturan semula, Tabung Haji berjaya meletakkan aset pada RM76.5 bilion dengan tanggungan dan deposit sebanyak RM75.5 bilion.

“Ini secara tidak langsung telah menutup jurang pimpinan sebelum itu, insya-Allah kita akan umumkan hibah dalam masa terdekat,” katanya dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang meminta menjelaskan sama ada pemindahan aset Tabung Haji akan memberi kesan kepada pendeposit memandangkan belum ada pengumuman lagi. – UTUSAN ONLINE

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...