Saturday, March 9, 2019

Umno nak 'kerajaan UG' dengan PAS di 4 negeri

Umno mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan (UG) dengan PAS pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas kedua-dua parti baru-baru ini, maklum pemangku presiden Umno, Mohamad Hasan.

Mohamad dipetik Utusan Online berkata ia akan dinamakan Kerajaan Penyatuan Ummah di empat buah negeri yang kini ditadbir BN dan Pas.

Menurut timbalan presiden Umno, satu jawatankuasa kerja telah diwujudkan di peringkat parti itu yang dipengerusikan Naib Presiden, Mohamed Khaled Nordin yang akan bertindak sebagai penyelaras bersama jawatankuasa dibentuk Pas kelak.


"Sebab itu saya bincang dengan Pas tempoh hari, kalau boleh kita mulakan dulu kerajaan campuran dikenali sebagai Kerajaan Penyatuan Ummah ini di Terengganu, Pahang, Kelantan dan Perlis," katanya.

Sementara itu, beliau juga berkata kerjasama itu akan membuatkan PH tidak senang duduk di Perak dan Kedah.

"Manakala di Perak dan Kedah yang mempunyai perbezaan kecil kerusi antara BN, PAS dan Pakatan Harapan (PH) juga kita akan 'goncangkan' agar mereka (PH) tidak senang duduk," katanya lagi.

Selepas PRU14, kerjasama PAS dan Umno bermula pada pilihan raya kecil di Cameron Highlands dan membuahkan hasil pada PRK Semenyih apabila merampas kembali kerusi DUN itu setelah terlepas kepada Bersatu pada pilihan raya umum Mei 2018.

Pada 5 Mac lalu, PAS dan Umno mengumumkan telah rasmi 'bersanding' selepas bermusyawarah lebih dua jam di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Hal itu dinyatakan Mohamad, yang mengadakan sidang media bersama Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man serta pemimpin kanan kedua-dua parti.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...