Tuesday, May 14, 2019

POLITIK DEDAK TERBUKTI WUJUD DALAM PAS


Shahbudin Husin
14 May 2019

Daripada beberapa siri pendedahan yang dilakukan oleh Zaharudin Muhamad kebelakangan ini, apa yang nyata ialah amalan politik wang memang wujud dan mula membudaya dalam Pas.

Jika selama ini kita pernah dikejutkan dengan isu RM90 juta, pemimpin tertentu bergaya mewah dan berkereta mahal, rupa-rupanya dalam Pas juga sudah ada “kartel dedak” yang berleluasa.

Jika sudah ada kartel, tentu pengikut dan anak buah yang menyokong amalan politik wang dan dedak itu lebih besar lagi bilangannya.

Selama ini, Pas boleh dikata parti yang agak bersih daripada amalan politik wang, dedak atau kebendaan ini kerana perjuangan mereka selalu digembar-gemburkan hanya kerana mencari redha Allah dan balasan syurga selepas kematian nanti.

Mengapakah matlamat Pas sudah bertukar kepada syurga dunia?


Sejak bilakah amalan itu berlaku dalam Pas?

Jika Zaharudin, menantu Presiden Pas dan ahli majlis syura sendiri berani mendedahkan mengenai “kartel dedak”, siapakah boleh menafikan amalan buruk itu tidak berlaku dalam Pas?

Zaharudin bukanlah orang kaki lima dalam Pas, sebaliknya beliau berada di beranda kepresidenan parti, bermakna sedikit-sebanyak pendedahan beliau sudah pasti ada asas dan kebenarannya.

Mahu tidak mahu, Pas harus menerima realiti tersebut sebagai tamparan baru kepada perjuangannya.

Tetapi, selain keghairahan kepada kuasa dan kebendaan, satu perkara lain yang menjebakkan Pas ke dalam kancah dedak ini ialah sejak ia mula berbaik-baik dengan UMNO beberapa tahun sebelum ini.

Hanya kerana ada hubungan dengan UMNO, baik secara gelap atau terang-terangan itulah yang menyebabkan bermulanya era dedak dan amalan bergaya hidup mewah dalam Pas.

Sebelumnya, Pas hanya terkenal sebagai parti yang hebat dengan ceramah-ceramah perjuangan Islam yang berjaya menghimpunkan ribuan hadirin di seluruh negara saja.

Ketika itu, gaya hidup pemimpin Pas cukup sederhana, malah belum terpana lagi dengan jenama kereta ternama buatan Eropah.

Tetapi, oleh kerana UMNO yang kuasanya berada di pergentingan waktu dan percaya melalui hubungan baik dengan Pas dapat menyelamatkannya, di situlah bermula segala-galanya.

Dalam UMNO, semua sedia maklum wang adalah raja yang selalu digunakan untuk mendapat dan mengekalkan kuasa.

Walaupun UMNO kini sudah tiada kuasa lagi dan amalan “cash is king” tidak berjaya mengekalkan kuasanya, keburukan politik wang daripada parti itu ternyata sudah meresap dan merosakkan nama baik Pas.

Sedarkah Pas tentang perkara tersebut?

Dan lebih hairan, Hadi Awang sendiri baru-baru ini mengumumkan Pas akan bergabung dengan UMNO menjelang PRU15 akan datang.

Adakah Pas sebenarnya mahu jadi seperti UMNO?

(Shahbudindotcom 14/05/2019)

3 comments:

  1. Akibat khianat amanah yg Arwah tinggalkan. 1 per 1 tuhan tunjukkan... Benda yg bersilat lidah mereka nafikan, kini terdedah. Mereka bukan sahaja tidak ambil tindakkan pada golongan dedak. Tapi diarah supaya tutup mata, tutup mulut, sumbat telinga. Dlm masa yg sama, mulut tetap disumbat dgn benda yg tak tau mane dtg...

    ReplyDelete
  2. Arwah TGNA dah pesan jangan terpedaya dgn muslihat UMNO.. Pas yg sebelum ni amat dihotmati dgn pendirian istikomah nya dgn Islam sudah tercemar dgn syurga dunia.. Dunia sudah menghampiri penghujung, umat islam spt buih2 dilautan..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...