Friday, December 6, 2019

KFA 'TEGUR' FAM, MFL..


KFA 'TEGUR' FAM, MFL

KHAMIS (5.12.2019)

ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) hari ini 'menegur' Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung beberapa perkara yang dilihat mendatangkan masalah kepada persatuan-persatuan bola sepak negeri.

Presidennya, Dato' Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berkata, salah satu perkara yang perlu diberi perhatian adalah kelewatan pasukan menerima format pertandingan daripada FAM dan MFL yang membantutkan persiapan.

Malah katanya, tarikh perlawanan bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Johor antara Kedah dan JDT juga belum dimuktamadkan.



"Dalam masa sama, KFA juga berpendapat FAM menjadikan pasukan-pasukan bertanding sebagai bahan ujikaji dengan mencadangkan beberapa perubahan struktur pertandingan dalam masa singkat. Sebagai contoh, dengan mengarahkan penganjuran liga negeri bawah 19 dan bawah 21 pada tahun depan.

"Kita tak dimaklumkan adakah liga itu bersifat sementara atau kekal dalam keadaan kita sememangnya memberi perhatian soal pembangunan di semua peringkat. Kita ada pasukan Piala Presiden, Kenari Kid, Lang Muda, kejohanan bawah 17 dan 14 tahun, futsal lelaki dan wanita malah bola sepak pantai dengan semua ini bagi memenuhi syarat-syarat FAM.

"Kalau liga tempatan bawah 19 dan 21 tahun ini perlu dilaksanakan, peruntukan itu sepatutnya datang dari FAM. Kalau tak, ia akan membebankan persatuan bola sepak negeri terutamanya negeri-negeri susah seperti Kedah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Kongres KFA Ke-44 di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Aman dekat sini, hari ini.

Tambahnya, kekecewaan persatuan-persatuan negeri turut timbul berhubung isu bayaran hak penyiaran yang masih belum dilunaskan sepenuhnya MFL ketika mereka berjanji untuk berbuat demikian pada November lalu.

"Perkara ini membebankan pasukan bertanding terutamanya dari segi aliran tunai yang mana wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk membayar gaji para pemain.

"Diharapkan isu ini dapat diberi perhatian pada musim depan. Sebaik-baiknya bayaran tersebut dibuat mengikut tarikh permainan yang diadakan siaran langsung itu dan bukannya pada hujung tahun atau dua kali dalam setahun," katanya.

Mukhriz menambah, masalah yang diutarakan itu sebenarnya turut dialami oleh pasukan-pasukan lain.

"Saya bercakap bukan hanya bagi pihak KFA tetapi juga bagi banyak pasukan lagi di negara ini yang berdepan masalah sama. Atas dasar ketelusan dan keadilan, sepatutnya FAM dan MFL beri perhatian serius berhubung perkara ini," katanya.

#Kedah
#MMFC

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...