Friday, February 7, 2020

Bekas MENTERI BN beritahu mahkamah dia didesak NAJIB & ROSMAH meluluskan PROJEK SOLAR.

Projek solar: Saya ditekan Najib, 'mem' dan Rizal, kata bekas menteri
News | Diterbitkan 6 Feb 2020, 6:17 petang | Dikemaskini 6 Feb 2020, 6:40 petang


KES ROSMAH | Bekas menteri pendidikan, Mahdzir Khalid memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau didesak meluluskan projek tenaga solar untuk sekolah-sekolah di Sarawak pada 2016.

Tekanan itu didakwa datang dari perdana menteri ketika itu, Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor dan pembantunya Rizal Mansor.

Dalam kenyataan saksi yang dibacakan hari ini, Mahdzir berkata beliau didatangi Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin pada tahun 2015 dengan cadangan menggantikan sistem penjanaan elektrik yang digunakan oleh 369 sekolah di luar bandar Sarawak dengan sistem hibrid solar.

"Saya menolak cadangan Saidi pada masa itu kerana Kementerian Pendidikan terikat dengan kontrak perkhidmatan sedia ada.

"Saya juga mempunyai keraguan tentang keupayaan Jepak untuk melaksanakan projek hibrid solar," kata Mahdzir.

Berikutan itu, Mahdzir berkata beliau menerima arahan bertulis daripada Najib pada 16 Disember 2015 untuk meluluskan projek yang dipohon oleh Jepak.


Kata Mahdzir, Najib telah menulis nota di surat yang ditulis Jepak kepada Pejabat Perdana Menteri, yang berbunyi: "Bersetuju dilaksanakan sistem baru ini dan batalkan sistem lama"

Berikutan itu, Mahdzir berkata, beliau mengarahkan Kementerian Pendidikan membentuk satu pasukan teknikal untuk membuat penilaian jika Jepak boleh melaksanakan tugasan itu.

Mahdzir berkata Saidi menjadi tidak sabar dengan proses tersebut.

Katanya, beliau sering menerima panggilan dan lawatan daripada Saidi antara Disember 2015 dan Mei 2016, dengan Saidi menuntut supaya proses kelulusan dipercepatkan.

Mahdzir berkata beliau tidak melayan permintaan itu kerana perkara itu perlu melalui proses yang sewajarnya.

Apabila pasukan teknikal menyelesaikan kajiannya, Mahdzir berkata beliau diberikan tiga pilihan. Bekas menteri itu berkata beliau memilih pilihan untuk membolehkan Jepak melaksanakan projek perintis berskala kecil.

Pada awal Jun 2016, Khalid berkata beliau menerima panggilan daripada Rizal yang bertanya mengapa projek berskala kecil, sedangkan Najib mahu sistem penjanaan elektrik diganti.

"Rizal juga beritahu saya bahawa Najib telah membuat keputusan dan 'mem' tahu mengenai projek hibrid solar itu. Dia tanya kepada saya mengapa saya telah menetapkan syarat-syarat lain.

"Saya beritahu beliau bahawa keputusan saya adalah berdasarkan kepada peraturan dan (cadangan) jawatankuasa teknikal.

"Saya tahu 'mem' merujuk kepada Rosmah. Saya tahu Rizal call bagi pihak Rosmah. Rosmah isteri Najib," kata Mahdzir.

Mahdzir berkata beliau menerima surat daripada Pejabat Perdana Menteri pada 7 Jun 2016. Surat itu dan dokumen lain dihantar ke rumahnya oleh Saidi.

Beliau berkata salah satu dokumen mengandungi arahan dengan tulisan tangan oleh Najib yang berbunyi: "Sila laksanakan seperti minit saya dulu".

Nota ini, kata Mahdzir, adalah satu bentuk tekanan bertujuan untuk meyakinkan beliau agar akur dengan permintaan Jepak.

"Apabila Saidi menyerahkan dokumen itu kepada saya di rumah saya, saya bertanya kepadanya siapa sebenarnya di belakang projek hibrid solar.

"Saidi menjawab Rosmah, Rizal dan 'Dato Aazmey' dari Umno Pekan merupakan 'pasukan' beliau.

"Dia kata dia perlu campur tangan mereka kerana Kementerian Pendidikan dan saya bertindak terlalu perlahan dalam memberikan projek hibrid solar kepada Jepak," katanya.

Berikutan itu, Mahdzir menulis nota kepada surat daripada Jabatan Perdana Menteri kepada setiausaha kementerian untuk melaksanakan projek itu seperti yang diarahkan oleh perdana menteri.

Mahdzir berkata beliau menasihati Najib pada Jun 2016 untuk tidak menganugerahkan projek secara rundingan terus dan sebaliknya membuka tender. Nasihat ini tidak diendahkan.

Dalam satu majlis yang diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri pada 23 Jun 2016, Mahdzir berkata beliau terserempak dengan Rosmah.

Ini, kata saksi itu, apabila Rosmah menunjukkan dia mempunyai kepentingan dalam projek itu.

"Ketika saya meminta diri, dia beritahu saya sesuatu 'you tengok la projek solar Cikgu Aazmey. Cepatkan sikit.'

"Apa yang saya faham dari mesej Rosmah adalah ini adalah satu arahan untuk mempercepatkan kelulusan projek untuk Jepak," kata Mahdzir.

Mahdzir memberi keterangan bahawa beliau terpaksa mengambil arahan itu secara serius kerana Rosmah berpengaruh dan mempunyai kuasa.

Menjelang Ogos, Kementerian Pendidikan menerima jawapan daripada Kementerian Kewangan bahawa permintaan untuk melantik Jepak bagi projek itu telah diluluskan, tetapi terdapat halangan berkaitan prosedur sebelum surat penganugerahan boleh dikeluarkan, kata Mahdzir.

Menjelang September, Mahdzir berkata, beliau dilawati Saidi dan seorang rakan kongsi perniagaan yang meminta proses itu dipercepatkan.

"Saya juga dihubungi Rizal, yang minta saya percepatkan (proses). Saya beritahu Rizal bahawa urusan pentadbiran dikendalikan oleh kementerian dan saya tidak boleh campur tangan.

"Saya percaya Rizal call bagi pihak Rosmah kerana Rizal sebut 'mem' semasa meminta agar saya mempercepatkan kertas kerja kepada Kementerian Kewangan," katanya.

Menjelang November, Mahdzir berkata beliau menerima surat daripada Pejabat Perdana Menteri dengan surat Jepak, yang mengandungi nota tulisan tangan Najib menyatakan: "Sila keluarkan SST (Surat Setuju Terima) untuk projek berdasarkan surat Jepak Holdings dengan segera".

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...