1. Laporan terbaru Jabatan Perangkaan berkaitan kesan wabak Covid-19 ke atas sektor pekerjaan Malaysia, khususnya pertanian dan perikanan amat membimbangkan. Hampir 22% responden dari sektor pertanian telah kehilangan kerja. Perkara ini lebih serius dalam subsektor perikanan di mana 33% individu telah kehilangan punca pendapatan. Manakala, laporan itu turut menyatakan bahawa hampir 80% responden daripada subsektor perikanan mengalami kejatuhan pendapatan bulanan, di mana sebanyak 48.2% individu menyaksikan penurunan pendapatan melebihi 50%. Lebih membimbangkan, majoriti petani dan nelayan tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung kos sara hidup, terutamanya jika wabak ini berlarutan.
2. Industri pertanian dan perikanan negara telah merosot teruk akibat wabak Covid-19 kerana rantaian bekalan terjejas selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Walaupun hasil tuai petani dan hasil tangkapan nelayan masih ada, namun disebabkan ketiadaan sistem pengangkutan, pengestoran dan pemprosesan yang lancar, maka sayur-sayuran dan hasil laut tidak sampai ke tangan pembeli. Ini juga menyebabkan terdapat hasil pertanian seperti sayur dan ikan terpaksa dibuang seperti yang telah dilaporkan baru-baru ini.
3. Sepatutnya, isu ini telah ditangani kerajaan lebih awal lagi. Walaupun Pakej Rangsangan PRIHATIN ada menyebut sedikit sebanyak tentang industri perikanan dan pertanian, namun saya tidak melihat usaha yang konkrit untuk membantu industri ini. Sekiranya masalah ini berlarutan, maka saya khuatir industri perikanan dan pertanian akan lumpuh dan seterusnya menyebabkan kenaikan harga barang secara mendadak yang akan menambah beban rakyat.
4. Justeru, kerajaan terutama kementerian Pertanian perlu bekerjasama dengan pihak swasta untuk memulihkan sebahagian rantaian bekalan yang mustahak, terutamanya pengangkutan. Konsep “home delivery” untuk sayur-sayuran dan hasil laut terus dari ladang dan jeti perlu dipergiatkan. Usaha ini boleh diperluaskan menerusi kerjasama platform e-dagang yang lain dan bantuan kewangan daripada kerajaan untuk memudahkan proses pengangkutan hasil tani dan laut.
5. Saya berharap agar kerajaan dapat bertindak segera dalam isu ini untuk memastikan rantaian bekalan industri pertanian dan perikanan tidak terjejas teruk dan harga makanan asas terus terkawal. Kebajikan rakyat mesti diutamakan terutama isu melibatkan soal pekerjaan dan pendapatan golongan B40 seperti petani dan nelayan bagi mengelak kesan ekonomi berlarutan berikutan wabak Covid-19.
YB FAIZ FADZIL
ADUN Permatang Pasir
14 APRIL 2020
No comments:
Post a Comment