Thursday, May 21, 2020

Anwar - Mengapa saya tidak hadir, jawapannya mudah, itu bukan sidang media Pakatan Harapan

 
SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan tentang ketidakhadirannya dalam sidang media khas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas berakhirnya persidangan Parlimen pada 18 Mei lalu.

“Mengapa saya tidak hadir, jawapannya mudah, itu bukan sidang media Pakatan Harapan (PH),” katanya menerusi siaran langsung di Facebook rasmi miliknya sebentar tadi.

Anwar berkata, dalam mesyuarat sebelum itu, pemimpin PH daripada PKR, DAP, dan Parti Amanah Nasional (Amanah) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Parti Warisan Sabah (Warisan), bersetuju untuk menyediakan pendirian bersama dalam isu kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Oleh yang demikian, kita tidak akan mengadakan sidang khas Pakatan Harapan (bagi isu tersebut) tapi ini tidak menghalang kalau DAP, Bersatu, Amanah atau Keadilan (PKR) buat sidang masing-masing atau ahli-ahli Parlimen mengeluarkan pandangan.

"Jadi ini saya hendak jelaskan ia (sidang itu) bukan sidang PH tetapi kita demokratik dan kita boleh keluarkan (kenyataan). Selepas ini, kita akan jelaskan supaya semua program PH atau sidang PH akan diumumkan oleh Sekretariat PH.


“Namun tidak boleh umpamanya, saya menggunakan Sekretariat Keadilan (PKR) untuk membuat program bagi pihak PH. Kita ada satu, (juga) beberapa peraturan yang kita harus patuhi,” kata Anwar yang turut menjawab beberapa soalan lain daripada pelayar di Facebooknya itu.

Terdahulu, pada persidangan Parlimen 18 Mei lalu, Dr Mahathir mengadakan sidang media khas di Yayasan Perdana, Putrajaya yang turut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Amanah, Mohamad Sabu serta Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Pembangkang tegur kerajaan, bukan caci: Tun M

Ketidakhadiran Ahli Parlimen Port Dickson itu pada sidang media khas tersebut menimbulkan tanda tanya malah tiada ahli Parlimen dari PKR dilihat menghadiri sidang media yang menyatakan reaksi pembangkang terhadap sidang Parlimen yang berlangsung pada sebelah pagi sebelum sidang media khas tersebut diadakan.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Usul undi tidak percaya mampu ubah majoriti, jatuhkan PN

Sementara itu, dalam kenyataan sama semasa siaran langsung itu, Anwar melahirkan kebimbangan dengan perjanjian penyelesaian kes Riza Shahriz Abdul Aziz yang diberi pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) berhubung dakwaan pengubahan wang haram, baru-baru ini.

"Kita nak persoalkan apakah munasabah kita selesaikan kes seperti ini? Dengan rundingan dan membayar sedikit, kalau kita ambil RM1 bilion dan bayar RM100 juta, selesai.

"Jadi esok, ada orang kata dia curi 10 ekor ayam, bayar seekor selesai. Kaedahnya sama, jangan pandang ringan. Kalau kita umpamanya esok, curi 10 motor, runding bayar balik satu motor,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...